Sunday 23 March 2014

CARA TUKANG SIHIR MENDATANGI JIN DAN SYAITAN (3)



Sambungan...

Keempat : Menghina Al-Quran (dijadikan pelapik kaki)

Melalui kaedah keempat ini, tukang sihir melangkah lebih jauh dengan amalan syirik untuk meminta bantuan para jin dan syaitan bagi memenuhi hajat jahatnya. Melalui kaedah ini, tukang sihir melakukan ritual untuk memanggil dan memiliki sejumlah pemuka-pemuka jin syaitan yang berikrar dan berjanji untuk menjadi khadam kepada tukang sihir. Apa sahaja arahan si tukang sihir akan dipatuhi tanpa banyak syarat.

Tukang sihir yang mengamalkan kaedah ini ternyata telah melakukan kekafiran dan kesyirikan yang nyata terhadap Allah iaitu dengan menjadikan al-Quran sebagai pelapik kakinya, kemudian ia masuk ke tandas dan membaca jampi serapah syirik di dalamnya. Selepas itu si tukang sihir kemudiannya keluar daripada tandas dan terus masuk ke dalam bilik gelap dan menyuruh jin syaitan yang bersangatan taat kepadanya melaksanakan hajatnya.

Dalam hal ini...jelaslah bahawa perlakuan tukang sihir ini telah pun jatuh kufur kepada Allah dan dia adalah sekutu syaitan yang terkutuk.

 
JANGAN DIBUAT!!! Memijak Al-Quran sebelum masuk ke tandas

Kelima : Melalui Penulisan Ayat Al-Quran dengan Najis

Melalui cara kelima ini, tukang sihir terlaknat akan menulis salah satu daripada surah di dalam al-Quran dengan menggunakan darah benda-benda najis yang lain kemudian akan mengucapkan jampi mentera syirik sehinggalah menjelmalah jin syaitan yang dipanggilnya.  Jin-jin tersebut kemudiannya akan melaksanakan segala apa yang dikehendaki oleh tukang sihir.

Cara ini juga merupakan satu kekufuran yang nyata kerana sangat jelas menghina ayat-ayat suci al-Quran atau surah-surah dalam al-Quran yang mulia. Sangatlah rugi dan murah tukaran hidup si tukang sihir ini. 

Sekian. Jumpa lagi.


Rujukan:
Thibb Al-Idrisi Al-Ansari (Suatu Kaedah pengubatan & Rawatan Menurut Islam)
oleh Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al Idrisi.
 

Thursday 20 March 2014

CARA TUKANG SIHIR MENDATANGI JIN DAN SYAITAN (2)




Sambungan daripada tulisan terdahulu....

Kedua : Melalui Kaedah Penyembelihan

Melalui kaedah ini tukang sihir akan mendatangkan binatang berupa seekor burung, ayam, kambing atau sebagainya dengan sifat-sifat tertentu yang bersesuaian dengan kehendak dan permintaan jin.  Biasanya warna yang disyaratkan ialah warna hitam kerana jin selalunnya menggemari warna hitam.  Tukang sihir kemudiannya akan menyembelih binatang tersebut tanpa menyebut nama Allah lalu kemudian melemparkannya ke tempat runtuhan bangunan dan perkuburan lama atau ke tempat-tempat kosong dan sunyi.  Ketika melemparinya juga, ia tidak menyebut nama Allah. Seelpas itu, tukang sihir akan kembali ke rumahnya lalu mengucapkan jampi serapah syirik dan memerintahkan jin tersebut supaya melaksanakan segala perintah yang diingininya.

Mungkin ayam hitam ini yang diperlukan oleh tukang sihir

Pengajaran:
1.      Penyembelihan binatang untuk jin dan syaitan adalah perbuatan syirik dan haram di sisi Islam.  Penyembelihan sepatutunya hanya kerana Allah sebagaimana sabda Rasulullah “Allah melaknat orang yang menyembelih binatang untuk selain daripada Allah”.

2.      Jampi serapah yang mempunyai lafaz syirik iaitu lafaz untuk mendatangkan jin adalah perbuatan syirik yang jelas menduakan Allah. Na’uzubillah..



Ketiga : Melalui Penulisan dan Pembacaan  Al-Quran secara songsang

Kaedah ini merupakan  antara perbuatan dan perilaku yang jelas menghina wahyu Allah iaitu tukang sihir menulis ayat-ayat al-Quran dengan huruf yang terpisah-pisah secara songsang iaitu dari belakang ke hadapan atau secara terbalik. Tulisan ini dilakukan dengan tangan kiri dan kemudian tukang sihir tersebut mengucapkan jampi serapah syirik untuk menyeru jin syaitan melaksanakan hajat yang diinginkan.

Ada juga tukang sihir mengucapkan ayat-ayat al-Quran secara songsang seperti membaca surah Al-Fatehah atau Surah Al-Ikhlas dari hujung sampai ke permulaan. Kononnya dengan cara ini hajat yang diimpikan akan mudah terkabul (sebenarnya dengan bantuan jin dan syaitan).

Pengajaran:
1.      Ayat-ayat suci Al-Quran sepatutnya dimuliakan kedudukannya dan jangan pandai-pandai mengubahnya seperti menulis dan membacanya secara songsang. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.


InsyaAllah bersambung...

Rujukan:
Thibb Al-Idrisi Al-Ansari (Suatu Kaedah pengubatan & Rawatan Menurut Islam)
oleh Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al Idrisi.


Sunday 16 March 2014

CARA TUKANG SIHIR MENDATANGI JIN DAN SYAITAN (1)



Assalamu’alaikum wwt.

Ada pelbagai cara atau kaedah seseorang itu memperoleh sesuatu yang dihajati walaupun cara tersebut bertentangan dengan syarak. Hal itu sebenarnya tidak menjadi masalah bagi seseorang yang buta mata hatinya dan jauh dari petunjuk Ilahi.  Bagi penyihir atau kita panggil TUKANG SIHIR, ada banyak cara untuk bersekongkol dengan makhluk jin dan syaitan ini. Marilah kita menyelusuri akan pelbagai cara ahli sihir mendatangi jin dan syaitan. Mudah-mudahan kita tidak terjebak dengan amalan khurafat ini.

Pertama: Melalui Sumpahan Atas Nama Jin dan Syaitan

Caranya ialah tukang sihir (bomoh, dukun atau pawang) tersebut masuk ke dalam bilik gelap yang tertutup. Kadang-kadang bilik tersebut diselubungi dengan kain hitam, kuning atau sebagainya yang menjadi syarat pemujaan terhadap jin dan syaitan. Kemudian tukang sihir akan menyediakan bara api dan meletakkan sejenis kemenyan di atas bara api tersebut sesuai dengan tujuan jahat yang diinginkannya. Jika bermaksud untuk menceraikan seseorang atau ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara dua pihak, ia akan meletakkan dan membakar kemenyan yang berbau busuk (kemenyan hitam).

Jika tukang sihir tersebut ingin merapatkan dua pihak yang bermusuhan atau melepaskan ikatan seorang suami yang terikat dengan sihir sehingga tidak dapat menggauli isterinya atau membuang sihir orang lain, maka tukang sihir itu meletakkan kemenyan yang berbau harum semerbak (kemenyan putih). Seterusnya tukang sihir itu memulakan jampi mentera yang berupa kalimah tertentu yang mengandungi sumpah kesetiaan dan pujaan kepada jin atas nama pemimpin mereka dan meminta dengan menyebut nama syaitan serta melafazkan (istighatsah) pertolongan daripada jin dan seumpamnya.

Hal ini dilakukan oleh tukang sihir dalam keadaan diri mereka tidak suci atau dalam berjunub atau memakai pakaian yang kotor dan bernajis.  Setelah itu, bagi mencapai tujuan jahatnya, tukang sihir memulakan jampi serapahnya, maka muncullah lembaga (bayangan) dalam bentuk yang berbeza-beza seperti berupa burung, anjing, ular, kala jengking atau bentuk-bentuk lain yang hodoh dan menakutkan.

Kadang-kadang lembaga tersebut tidak muncul tetapi dapat didengari suaranya sahaja dan kadang kala tidak didengari apa-apa pun, kemungkinan hanya didengari oleh tukang sihir sahaja. Berkemungkinan juga tukang sihir berpura-pura mendengar dan berkata-kata dengan jin syaitan tersebut tetapi pada hakikatnya bohong belaka.  Kemudian tukang sihir itu mengambil sesuatu yang telah digunakan atau dipakai oleh pesakit seperti rambut, cebisan kain atau lain-lain yang berkaitan dengan pesakit dan mengikatkannya. Setelah itu tukang sihir akan memerintahkan jin syaitan tersebut melaksanakan permintaan-permintaan yang dikehendakinya.

Dengan cara ini jelaslah kepada kita bahawa jin syaitan menyukai tempat-tempat  gelap atau tempat yang diwarnai dengan warna yang tertentu seperti hitam atau kuning. Jin juga mendapat makanan daripada bau-bauan asap busuk dan tidak disebutkan nama Allah padanya. Jin juga sangat suka akan perkara yang berkaitan dengan najis dan sangat suka mendekati serta menghampiri mereka yang kotor dan tidak bersuci.

Insya-Allah...bersambung

Rujukan:
Thibb Al-Idrisi Al-Ansari (Suatu Kaedah pengubatan & Rawatan Menurut Islam)
oleh Syeikh Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al Idrisi.