Friday 18 April 2014

10 AYAT SURAH AL-KAHFI - Pelindungan Daripada Fitnah Dajjal



Asslamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dikasihi lagi dihormati,

Bicara pada kali ini ialah mengenai keutamaan membaca Surah Al-Kahfi.

Surah Al Kahfi adalah surat ke-18 dalam Al Qur'an. Surah ini mempunyai 110 ayat dan termasuk dalam golongan surah-surah Makkiyyah. Dinamakan Al-Kahfi (bahasa Arab:Gua) dan Ashhabul Kahfi yang membawa maksud Penghuni-Penghuni Gua. Selain itu, nama ini diambil daripada cerita yang terdapat dalam surah ini pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya. Selain daripada cerita tersebut, terdapat pula beberapa buah cerita dalam surah ini mengandungi pengajaran yang amat berguna bagi kehidupan manusia.

Tuan guru saya iaitu Ustaz Muhammad Rajab Akmal bin Abdul Halim Al Idrisi sangat menekankan agar para muridnya (ikhwan Darul Ansar) agar selalu mengamalkan membaca Surah Al-Kahfi terutama pada 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah ini. Terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan keutamaan membaca surat ini.

Nabi saw bersabda:
”Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal”. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam hari Jumaat sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh Imam Nawawi).

Seorang muslim yang menghafal sepuluh atau tiga ayat pertama dari surah Al-Kahfi akan terlindung dari fitnah Dajjal, atau siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dan sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.

Dalilnya adalah hadis dari Abu Darda R.A dari Nabi berkata:
“Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.” (HR. Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)  

10 AYAT PERTAMA SURAH AL-KAHFI




Pada lafaz Tirmidzi:
“Barangsiapa menghafal tiga ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.” Dia berkata: “Hadis hasan.”

Pada hadis yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda R.A bahawa Nabi SAW berkata :
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

10 AYAT TERAKHIR SURAH AL-KAHFI





Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah R.A Dan pada lafaz Nasai menyatakan :
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana-mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Rasulullah SAW juga telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini.  Baginda SAW mengajar satu doa untuk dibaca selepas tahiyyat akhir sebelum salam setiap kali kita sembahyang. Doa itu adalah : 

DOA SELEPAS TAHHIYAT AKHIR SEBELUM SALAM




Maksudnya :  
“Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahannam dan dari siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati, juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal.”

Kesimpulan
Sesungguhnya bahaya fitnah Dajjal adalah benar dan amat membahayakan manusia umumnya dan umat Islam khasnya. Oleh itu, Nabi kita memberikan kita bekal senjata yang ampuh untuk menangkis fitnah Dajjal tersebut.  Kita tidak tahu bagaimana bentuk fitnah tersebut. Masanya telah tiba dan tersebar pada hari  ini (akhir zaman).  Saya menyeru kepada diri saya dan kepada saudara pembaca sekalian agar jangan lupa membaca Surah Al-Kahfi dan doa yang tersebut di atas. Mudah-mudahan kita semua dilindungi oleh Allah Taala. Amin.


Thursday 17 April 2014

BEKAM



Assalamu’alaikum wwt.
Tulisan kali ini berkisar tentang amalan bekam atau hijamah. Ikutilah info secara ringkas mengenai bekam ini...

 
Bekam Sunnah

Apa itu Bekam atau Hijamah?
Membekam menurut Kamus Dewan Edisi Empat merupakan perbuatan mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu. Tukang bekam dipanggil pembekam atau hajim. Istilah pembekam adalah homonim yang membawa maksud: orang yang melakukan kerja membekam; atau alat untuk membekam. Istilah bahasa Inggeris yang setara dengan bekam ialah cupping.

Jelaslah bahawa bekam ialah mengeluarkan darah dari kulit dengan cara menghisap (vacuum), kemudian melakukan sayatan nipis (hirisan) atau tusukan jarum halus pada permukaan kulit, kemudian disedut lagi agar darah boleh keluar dan menimbulkan kesembuhan dengan izin Allah.

Proses Bekam:
Prosese pengubatan bekam mempunyai 3 peringkat iaitu:
1.      Penyedutan
2.      Penyayatan
3.      Pengeluaran darah

Sejarah Bekam
Ada pendapat yang menyatakan penggunaan bekam pertama kali oleh manusia ialah pada zaman Nabi Lut a.s. Kaum Nabi Luts a.s apabila ada orang asing lalu di kawasan mereka, mereka akan melempari kepala orang itu dengan batu sehingga mengalirkan darah. Selepas itu mereka akan mendatangi orang tersebut dengan meminta bayaran daripadanya sebagai upah atas darah kotor yang mereka keluarkan. Ini membuktikan penggunaan bekam sebagai cara pengubatan telah digunakan sejak zaman itu sehingga zaman Rasulullah s.a.w dan pada masa kini.

Buku karangan Syihab Al-Badri Yasin yang bertajuk Al-Hijamah Sunnah Nabawiyah wa Mu’jizah Thoyyibah telah menyenaraikan himpunan beberapa hadis Nabi Muhammmad s.a.w mengenai saranan berbekam ini.

Hadis-hadis Nabi berkaitan bekam:

Pertama:
Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al- Baihaqi: “ Hari yang baik untuk kamu berbekam padanya ialah 17, 19 dan 21”. Dan sabda Baginda seterusnya : Aku tidak lalui pada malaikat-malaikat (yang ditermui) pada malam aku diisra’lam kecuali mereka mengatakan “Hendaklah kamu berbekam wahai Muhammad”.

Kedua:
Hadis riwayat Bukhari : “Penyembuhan itu terdapat pada tiga hal, minum madu, torehan alat bekam, al-khayy (bakar dengan api) sesungguhnya aku melarang umatku dari khayy.”

Ketiga:
Hadis riwayat At-Tabarani : “ Hendaklah kamu semua melakukan pengubatan dengan bekam di Qomahduah (satu titik di belakang kepala) kerana sesungguhnya hal itu merupakan ubat bagi 72 jenis penyakit.”

Pendapat Pakar tentang Bekam
 
Darah bertoksin

Seorang ahli bekam dari California, Amerika Syarikat, Dr. Michael Reed Gach dalam bukunya, Potent Point: A guide to Self Care For Common Ailments, terpaksa akur dengan kehebatan rawatan perubatan bekam yang menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.  Lantas beliau menyarankan agar kaedah bekam diterapkan di dalam kehidupan seharian di barat, setelah melakukan pelbagai kajian saintifik mengenai bekam dan terbukti keajaiban rawatan ini yang tiada tolok bandingnya.

Begitu juga dengan penelitian yang dilakukan oleh Kohler D (1990) sehingga diterbitkannya buku yang berjudul The Connective Tissue as The Physical Medium for Conduction of Healing Energy in Cupping Therapeutic Methode.

Manfaat Bekam
Manfaat dan kelebihan bekam menurut pengamal perubatan ini, antaranya ialah:
1.      Dapat mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w
2.      Meningkatkan daya tahan tubuh badan
3.      Mencuci darah
4.      Dapat mengatasi kemalasan dan kelesuan
5.      Sangat berkesan mengatasi racun (toksin dalam badan)
6.      Bermanfaat mengatasi luka-luka berdarah
7.      Mengatasi gangguan tekanan darah
8.      Dapat mengatasi sakit kepala dan sakit gigi
9.      Merawat pelbagai jenis penyakit yang tidak boleh diubati dengan kaedah rawatan moden.

Kesimpulan
Pengamal bekam turut perlu untuk memantapkan diri dengan  amalan pendinding diri seperti AyatulKursi, doa dan sentias berselawat ke atas  Nabi, membaca surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas.  Ini semuanya perlu kerana dikatakan bekam bukan sahaja mampu menyembuhkan racun atau toksik di dalam badan tetapi juga sihir. Insya Allah..

MARILAH BERBEKAM SEBAGAI SATU USAHA PENGUBATAN SUNNAH...

Sunday 13 April 2014

DEMAM CAMPAK : KAEDAH BAHAN RAWATAN DAN DOA



Assalamu’alaiku, wwt.
Saudara pembaca yang dimuliakan..

SEPANJANG hidup ini, pernahkah kita dijangkiti demam campak yang juga dikenali sebagai cacar air? Jika belum, lebih baik kita mengambil langkah penjagaan awal, kerana kebarangkalian mendapat jangkitan itu adalah sekali dalam seumur hidup. Berikut merupalan info ringkas berkaitan demam campak dan rawatan menggunakan bahan rawatan dan doa mustajab. Insya-Allah sembuh...

Apa itu demam campak?
Demam campak merupakan jangkitan biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai virus varicella. Demam campak mudah berjangkit daripada seorang individu ke individu lain. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters).

Bagaimana demam campak merebak?
Demam campak boleh merebak melalui udara apabila seseorang yang menghidap demam campak itu mengalami batuk atau bersin. Selain itu, jangkitan itu boleh merebak melalui sentuhan atau pernafasan apabila partikel virus yang terdapat pada cecair yang keluar daripada lepuh (blister) terkena orang lain.

Tempoh demam campak merebak?
Bagi kanak-kanak, mereka akan mendapat demam campak dalam masa 10-21 hari selepas terdedah kepada individu yang menghidap demam campak. Demam campak boleh merebak 1-2 hari sebelum ruam kelihatan pada orang yang di jangkiti sehingga semua ruam kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius. Jangkitan demam campak bagi orang dewasa, remaja serta anak kecil kurang dari setahun boleh menjadi lebih serius.

Tanda-tanda Campak

  • mata merah, bengkak 
  • batuk (kerana bintik-bintik tumbuh di dalam) 
  • peluh berbau hanyir.. 
  • bagi kanak-kanak (menangis lebih)


Penting
Jangan makan ubat untuk menurunkan panas badan, biarkan panas tersebut sekurang-kurangnya 3 hari, agar campak tersebut tidak terbantut.
Selepas 3 hari, campak akan keluar (bintik2 merah).
Jika tidak dapat menahan kepanasan badan tadi, gunakan kain yang lembap, dan lap dibadan, di bawah ketiak atau letakkan di atas dahi.

Cara Merawat
Selepas campak keluar, gunakan cara berubat ini.

Kelapa Muda

  • Bagi pesakit minum air kelapa  muda (bukan kelapa gading @ kuning), dengan makan sedikit isi kelapa untuk beberapa hari. 
  • Bacakan doa pada bahan dan air kelapa. 
  • Kerapkan mandi, mandi dengan perlahan, dari kaki dan naik ke atas badan dan akhir sekali barulah kepala.


Tanda  demam campak telah habis
Akan kelihatan bintik-bintik merah ditapak kaki
Jika tidak dapat menahan gatal :
jika tidak tahan akibat campak yang keluar dengan banyak.

Daun mamu @ mambu

  • gunakan daun mamu @ mambu. 
  • letakkn dibawah bantal, tilam, katil. 
  • masukkn daun mamu dan pecah-pecahkan daun tersebut ke dalam timba, isi kan air dan mandi dengan air tersebut.

Pantang larang

  • tidak boleh terkena air hujan. (akan meninggalkan parut hitam) 
  • tidak boleh mandi laut (selama 6 bulan)

Bagi menghilangkan parut hitam :

Daun asam jawa
  •  Daun asam jawa dan bedak sejuk asli.
  • Tumbuk hingga lumat daun asam jawa tadi dan campurkan dengan bedak sejuk. 
  • Sapukan diseluruh badan pada waktu malam sebelum tidur. 
  • Pada pagi nya, mandi dengan air yang telah didoakan. 
  • Amalkan 3 kali sehari selama 3 hari berturut-turut.


InsyaAllah, campak akan sembuh dan parut akan hilang.

Kombinasi ayat yang perlu dibaca:

  • Al-Fatihah



  • Selawat Syifa




  • lau anzalna.... (surah Al-Hasyr 21~24)




Semoga Allah menyembuhkan kita semua.

Rujukan:
http://www.utusan.com.my  ARKIB : 10/11/2012

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din (2011) Rawatan Penyakit Jasmani (I). Jilid 2. Bandar Baru Bangi. Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia & Koperasi Darussyifa' Berhad.

Friday 11 April 2014

HUKUM BELAJAR ILMU ISIM



Assalamualaikum wwt.
Sidang pembaca yang saya hormati sekalian.

Post pada kali membicarakan mengenai satu dimensi ilmu ghaib yang seringkali memerangkap seseorang. Walaupun pada asalnya ilmu ini kelihatan baik dan bermanfaat, namun tanpa disedari ada bahaya yang menanti si pengamalnya. Ilmu tesebut digelar ilmu isim. Ikutilah soal jawab mengenai persoalan ilmu isim yang saya petik daripada lawan sesawang Utusan Malaysia (M) Bhd. ARKIB : 15/04/2001

SOALAN:
Saya ada mempelajari ilmu isim. Ia menyeru nama syeikh-syeikh tertentu yang digabungkan dengan ayat-ayat al-Quran. Setelah diamalkan memang ada sesuatu yang menggerakkan badan, menyebabkan saya boleh bersilat dan sebagainya. Saya juga boleh mengubati orang sakit. Ilmu ini mengandungi pantang-pantang tertentu yang tidak boleh dilanggar. Ada kawan yang melanggar pantang dan menjadi gila. Saya juga ada melanggar, tetapi tidak ada apa-apa terjadi. Saya menjadi celaru dan begitu bimbang dengan amalan ini.
- SALLEH NOR, Negeri Sembilan.

JAWAPAN:
Islam menyuruh umatnya agar sentiasa mengingati Allah dalam keadaan apa keadaan sekalipun. Ketika berdiri, duduk dan sebagainya. Di antara tanda-tanda kebahagiaan ialah apabila seseorang itu berupaya mengingati Allah ketika dalam keadaan senang, juga dalam keadaan susah. Kerana itulah zikir itu dianggap penting dalam usaha mengingati Allah s.w.t .

Atas keyakinan dan ajaran seumpama inilah maka masyarakat Melayu pada umumnya menganggap bahawa sesuatu amalan yang terangkum dalamnya zikir sama ada yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan sebagainya adalah amalan yang baik. Keyakinan seumpama ini dipergunakan atau diperalatkan oleh iblis dan syaitan yang jelas tidak dapat dilihat mata, ataupun oleh manusia yang bersifat jahat seperti iblis dan syaitan untuk menipu manusia, iaitu dengan cara menggunakan kalimah-kalimah yang mengandungi nama-nama Allah, nama-nama rasul atau nabi, nama-nama malaikat, ataupun nama-nama pahlawan Islam terbilang dalam usaha atau amalan yang menyesatkan.

Pada hakikatnya, zikir-zikir yang tersebut dalam amalan kebatinan termasuk ilmu isim seperti yang saudara pelajari tidak membuktikan atau memastikan bahawa amalan yang dilakukan itu benar tidak menyalahi ajaran Islam. Hal seumpama inilah ada kalanya melahirkan kekeliruan mereka yang mengamalkan, juga mereka yang cuba membanteras amalan ajaran sesat.

Dalam masa yang sama, tidak semua mereka yang menurunkan atau memberi ijazah amalan kebatinan tersebut, yang terdiri daripada guru-guru itu sendiri menyedari bahawa amalan yang diperturunkan itu melibatkan makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada jin-jin.

Terdapat pelbagai nama yang diberi, kaedah-kaedah pembelajaran yang dilalui yang melibatkan ilmu kebatinan, tetapi hakikat amalannya adalah sama.

Seorang pemuda yang saya temui telah menerima ijazah ilmu kebatinan mempertahankan diri daripada sepupunya yang berasal dari tanah seberang.

Setelah diijazahkan, dia diminta membaca syahadah seberapa banyak mungkin. Tidak lama selepas itu, iaitu dalam masa lebih kurang empat atau lima minit, ia merasakan tangannya bergerak ke hadapan dengan sendiri. Rasa denyutan berlaku di hujung-hujung jari, lalu ia dengan sendirinya mendepa ke kanan dan mengangkatnya ke atas. Begitu juga yang dialaminya pada kakinya, menyebabkannya menjadi kaku menegak.

Ketika mula beramal, gurunya berpesan agar menurut apa yang berlaku pada dirinya. Dia hendaklah membisikkannya dalam hati agar menurut sahaja apa yang terjadi, jangan gunakan akal. Ketika menghadapi masalah ataupun didatangi oleh seseorang yang sakit, jari-jari tangan kanannya akan tergenggam sendiri.

Seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur yang mempelajari satu jenis silat ketika di kampung telah disuruh membaca al-Fatihah dan selawat oleh gurunya. Setelah belakangnya ditepuk, yang disertakan dengan bacaan-bacaan yang tidak kedengaran jelas olehnya, ia merasakan kaki dan tangannya bergerak dengan sendiri, seolah-olah ada satu tenaga luar masuk bergerak perlahan mengalir dalam anggota menyebabkan berlakunya demikian.
 
Boleh bersilat sendiri.

Pesan daripada gurunya ialah supaya membiarkan segala pergerakan yang berlaku dalam tubuh, jangan ditahan.

Masalah yang dihadapi oleh pelajar ini setelah mempelajari ilmu tadi ialah berlakunya pergerakan yang terus-menerus terjadi pada tangannya biarpun ketika sedang tidur. Ia merasakan seolah-olah bangun dan bersilat tanpa berhenti. Ketika membuka mata, ia mendapati badannya tidak bergerak, hanya perasaannya sahaja yang mengalami pergerakan tadi.

Tidak lama selepas itu ia mengalami mimpi-mimpi ngeri, mimpi dikejar oleh makhluk-makhluk yang menakutkan, menyebabkannya terasa gementar. Terasa seolah-olah nyawa sentiasa dalam bahaya. Di waktu siang ia terasa mengantuk dan terpaksa tidur antara tiga hingga empat jam tetapi badannya tetap letih.

Satu perkara yang paling membimbangkan ialah kesukaran hendak tidur malam. Kerana itu badannya sentiasa terasa letih, mengantuk dalam kuliah, menyebabkannya tertidur, dan tidak terjaga kecuali setelah habis kuliah. Ia juga sering menguap ketika bermain bola sepak dengan kawan-kawan di padang.

Pelajar ini merasa hairan bagaimana peristiwa buruk yang sama sekali tidak disangka boleh terjadi, pada hal zikir-zikir yang diamalkan dirasakan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, yang terdiri daripada syahadah, subhanallah, alhamdulillah, Allahu Akbar.

Punca penyakit ataupun masalah yang dihadapi olehnya sukar dipastikan. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang ia mengalami gangguan fizikal, kerana doktor-doktor pakar mengesahkan yang dia tidak menghadapi apa-apa masalah. Mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional memberi pendapat yang berlainan, ada yang menyatakan kerana gangguan saka, kena santau dan sebagainya.

Seorang pemuda yang tinggal di Keramat mengakui mengamalkan satu jenis zikir tertentu. Semenjak mengamalkan ilmu yang telah diijazahkan itu, beliau mengalami kesukaran yang teruk untuk mendirikan sembahyang. Beliau bukan sahaja merasa sukar untuk melafazkan kalimah ``Allahu Akbar'' tetapi juga sukar untuk membaca al-Fatihah, juga lain-lain bacaan. Terasa seolah-olah ada sesuatu yang menekan hatinya manakala lidah terasa keras untuk melafazkannya.

Dalam hatinya sentiasa wujud bisikan-bisikan yang membimbangkan sama ada ketika sembahyang atau di luar sembahyang. Sejak berlakunya peristiwa-peristiwa tersebut, beliau semakin jauh daripada masjid, kecuali untuk sembahyang Jumaat, tetapi ia tidak berdaya mendirikan sembahyang sunat. Ibadat-ibadat lain, seperti membaca al-Quran dan zikir terus ditinggalkan.

Pemuda ini menyatakan amalan yang pernah diamalkan terdiri daripada zikir-zikir dan amalan seperti istighfar, dua kalimah syahadah, selawat, al-Fatihah kepada Nabi s.a.w, ibu bapa, semua wali Allah, rijalul ghaib, syeikh-syeikh, guru-guru juga kaum muslimin dan muslimat.

Ketika beramal pelajar perlu bertafakur. Ingat dalam hati dan mengaku dosa yang dilakukan (ikrar), takut kepada Allah akan azab-Nya (khauf), mengharap rahmat-Nya di dunia dan akhirat (raja') dan mengetahui ilmu Allah terlalu luas (ilm). Banyak lagi bacaan yang perlu diamalkan. Akhir sekali baru memberi salam dengan memalingkan muka ke kanan dan ke kiri dan berdoa dengan apa-apa doa yang disukai, yang diakhiri dengan bacaan al-Fatihah sekali dan diakhiri dengan doa Fatihah sebagai penutup doa.

Niat seseorang itu mempelajari ilmu seperti ini mungkin benar untuk menghampirkan diri kepada Allah atau menuntut ilmu kebatinan, yang termasuk dalamnya ilmu isim iaitu untuk rawatan, mempertahankan diri dan sebagainya, manakala bacaan iaitu wirid-wirid yang diamalkan itu benar tidak salah dan tidak menyeleweng, tetapi apabila amalan seperti ini digabungkan dalamnya dengan penglibatan makhluk-makhluk halus, akhirnya berlakulah pelbagai masalah yang di luar dugaan.

Tidak mudah akal berfikir bagaimana orang yang tidak pernah mempelajari ilmu persilatan, boleh bersilat hebat, menumbuk kanan kiri, lompat sana sini hanya dengan berzikir dan ``ijazah'' daripada guru semata-mata, pada hal pada masa yang lain, sekiranya ``objek'' luaran itu tidak meresap dalam badan, orang yang berkenaan langsung tidak boleh bersilat, juga tidak boleh melakukan rawatan.

Allah s.w.t menjelaskan seperti yang tersebut jelas dalam ayat-ayat al-Quran bahawa syaitan itu musuh yang nyata. Allah menyuruh setiap orang itu menjauhinya.

Orang yang mengamalkan amalan seperti yang dijelaskan hakikatnya telah memanggil, membiarkan makhluk ini masuk meresap dalam tubuhnya. Makhluk ini sentiasa menunggu manusia memanggil dan memujanya agar manusia itu sesat. Apabila ini berlaku, dipanggil tanpa disedari supaya meresap dalam tubuh, makhluk ini akan menjadi mudah masuk meresap dalam tubuh manusia.

Sasaran utama makhluk ini ialah pada otak, dan apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan kehilangan fungsi normal otak yang boleh menyebabkan apa yang dikenali sebagai ``gila isim'' oleh masyarakat Melayu. Apabila ia mengganggu hati, seseorang itu akan merasa bimbang, risau, waswas, rasa terlalu gembira dan murung silih berganti tanpa sebab yang jelas.

Mengenai resapan makhluk-makhluk halus dalam tubuh manusia, Rasulullah s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah hadis daripada Safiyyah binti Huyai r.a. yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu boleh berjalan dalam tubuh anak Adam menurut pembuluh darah.

SUMBER ASAL
© Utusan Melayu (M) Bhd