Wednesday 26 February 2014

DAKWAH KEPADA JIN


Assalamu’alaikum wwt.

Salam sejahtera buat pembaca yang saya sayangi.

Sudah agak lama saya tidak  menulis dalam ruangan blog ini lantaran kekangan masa dan kesibukan kerja. Mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah Taala.

Saudara pembaca,

Tugas mu’alij bukan sekadar merawat pesakit sahaja tetapi kadang-kala menjangkau lebih daripada itu terutamanya dalam bidang dakwah. Pada pendapat saya, kerja-kerja dakwah ini bukan sahaja terpikul di bahu orang-orang agama yang bergelar ustaz atau imam, malah sesiapa sahaja boleh menjalankan kerja-kerja dakwah ini. Walaupun dengan menyampaikan satu nasihat yang baik berupa sepotong ayat adalah  lebih berharga daripada tidak berbuat apa-apa. Bukankah makhluk manusia dan jin dijadikan untuk beribadat kepada Allah? Justeru usaha dakwah ini boleh  menjangkau ke alam jin. Bagaimana berdakwah kepada jin?

Jin

Bangsa jin adalah merupakan sejenis makhluk ciptaan Allah yang halus iaitu tidak nampak oleh mata kasar manusia. Jin dicipta daripada api dan terbahagi kepada beberapa golongan. Kehidupan jin kebanyakkannya hampir sama dengan manusia.  Mereka juga menganut agama menurut kepercayaan masing-masing iaitu ada yang beragama Islam dan bukan beragama Islam malah ada juga yang tidak menganut apa-apa agama. Jin-jin yang merasuk dan mengganggu manusia umumnya bukan beragam Islam kerana jin Islam jarang sekali mengganggu manusia Islam. Senang cerita, manusia yang diganggu oleh jin ini terdiri daripada jin-jin kafir atau jin-jin jahat.

Manusia yang diganggu oleh jin umumnya terdiri daripada dua pihak iaitu pertama terdiri daripada jin saka dan yang kedua terdiri daripada bukan jin saka (jin sihir, jin asyik dan sebagainya). Jin-jin yang berada dalam tubuh manusia (pesakit) akan bereaksi jika dibacakan ayat-ayat ruqyah iaitu dibacakan dengan ayat-ayat suci al-quran. Reaksi jin ini agak berbeza dan tidak sama dengan semua pesakit. Ada jin-jin yang cepat bereaksi seperti berteriak kesakitan dan berasa sakit di beberapa tempat tertentu di badan seperti di kepala dan di kaki. Malah ada juga pesakit yang bereaksi dengan muntah yang banyak. Ada juga jin yang ‘buat bodoh je’...

Berbalik kepada cerita berdakwah kepada jin...

Jika sedang meruqyah pesakit dan ada reaksi daripada jin di dalam badan pesakit, maka mu’alij boleh menggunakan kesempatan ini untuk berdakwah kepada golongan jin. Janganlah mu’alij sepanjang masa menggunakan kekerasan untuk membelasah jin sehingga hilang pertimbangan yang wajar. Bahkan ada mu’alij yang terus membunuhnya. Bukan saya katakan tidak boleh membunuh jin tetapi itu adalah usaha terakhir jika mereka terus berdegil dan mungkir janji. Jika kita memerintahkan jin itu keluar dari badan pesakit dan jin bersetuju apalah  salahnya kita berdiplomasi dan menerangkan akan keindahan Islam kepada mereka.

Saya ada satu pengalaman berdakwah kepada jin dan mengajak mereka memeluk agama Islam. Ada seorang pemuda dari Jerantut, Pahang telah  datang ke rumah saya untuk mendapatkan rawatan. Pemuda ini telah lama diganggu oleh jin sehingga menjejaskan aktiviti kehidupan sehariannya. Kali pertama mendapatkan rawatan, banyak muntah yang keluar dan terasa sakit di kebanyakan bahagian badannya seperti di kepala dan di perut. Saya memerintahkan jin sihir yang mengganggu pesakit supaya keluar dan mengambil barang sihir dalam tubuh pemuda tersebut. Perintah saya diikuti, tetapi jumlah jin yang banyak melambatkan usaha saya. Saya terpaksa memberhentikan rawatan kerana melihatkan pemuda tersebut terlalu penat. Saya memberikan air penawar dan amalan untuk diamal secara berterusan.

Selang seminggu,pemuda tersebut kemudiannya menelefon saya untuk mendapatkan rawatan kali kedua. Kali ini ditemani oleh ibunya. Rawatan pada kali kedua ini tidak memerlukan bacaan ruqyah yang panjang kerana pesakit (jin sihir) cepat bereaksi.  Kesempatan ini saya gunakan sepenuhnya untuk berdakwah kepada sejumlah besar jin yang menetap di bahagian kepala, perut dan di kaki. Saya mengingatkan jin-jin tersebut agar mengeluarkan barang-barang sihir jika tidak mahu disakiti dengan bacaan ruqyah. Pesakit menggerakkan tangan dan membuat aksi seolah-olah menarik objek pada bahagian tertentu di tubuhnya. Saya juga memerintakan agar jin-jin tersebut keluar dan menawarkan memeluk agama Islam. Alhamdulillah, dipendekkan cerita, maka satu persatu jin-jin tersebut saya bimbing untuk mengucapkan Dua Kalimah Syahadah. Saya juga memohon kepada Allah agar menghantar jin-jin tersebut ke Serambi Madinah agar di sana, jin-jin tersebut dapat mendalami ajaran Islam yang suci. Saya juga menasihati dan memperingatkan jin-jin tersebut agar tidak masuk lagi ke dalam badan pesakit dan mana-mana manusia kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Kesimpulan :

Marilah kita bersama-sama menyemai sikap bertoleransi sesama makhluk Allah terutama melibatkan bangsa jin. Jika ada peluang berdakwah, maka lakukan dengan sebaik mungkin. Manakala jika mereka engkar dan bersikap zalim lagi sombong, maka mohonlah kepada Allah  jalan penyelesaian terbaik termasuklah jika perlu membunuh mereka. Itupun sebagai ikhtiar terakhir... Kita mesti ingat, bahawa jin juga ada kehidupan tersendiri dan tidak mustahil kaum kerabatnya akan menuntut bela jika kita bertindak secara keterlaluan.




Sekian, jumpa lagi..

Thursday 6 February 2014

PENYAKIT GANGGUAN JIN dan HAKIKAT PENYEMBUHANNYA



Assalamu’alaikum wwt.

Bertemu kembali pembaca yang budiman...

Banyak rahsianya mengapa penyakit yang dideritai lambat sembuh atau tidak sembuh. Kadang kala penyakit tersebut merupakan satu peringatan buat kita agar kembali tunduk kepada Allah. Ataupun penyakit tersebut merupakan satu kifarah (penebus) terhadap dosa-dosa kita yang lalu.. bukankah Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambanya..

Gambar Hiasan : Perawat sedang merawat pesakit

Ada pesakit mengharapkan sekali berubat terus mengharapkan kesembuhan. Apabila mendatangi perawat Islam untuk mendapatkan penawar kesembuhan terutamanya  yang melibatkan penyakit gangguan jin (saka atau sihir), mereka meletakkan harapan yang tinggi kononnya perawat tersebut akan dapat mengeluarkan jin yang mengganggunya. Hakikatnya, bukanlah semudah itu anggapan mereka.  Perawat bukanlah orang “sakti” yang dapat menyembuhkan penyakit kerana perawat juga berdoa kepada Allah agar dipermudahkan usaha penyembuhan. Dalam hal ini, perawat cuma membantu sekadar yang diizinkan oleh Allah sahaja.. selebihnya, pesakit sendiri harus merawat dirinya sendiri.

Usaha mengeluarkan jin (saka atau sihir) dari badan pesakit memerlukan masa terutamanya jika jin tersebut menetap terlalu lama dalam badan. Bukankah jin atau syaitan itu dapat berjalan dalam badan manusia melalui salur darah? Keadaan akan menjadi lebih sukar jika jin tersebut sudah membiak dan beranak pinak dalam badan kita. Tentunya proses mengeluarkan jin tersebut mengambil masa.

Ini belum lagi kes yang melibatkan jin sihir.  Jin sihir yang dihantar oleh penyihir akan tetap patuh menjalankan tugasnya. Walaupan jin sihir itu diazab dengan ayat-ayat suci al-Quran namun jin itu tetap berkeras tidak mahu keluar, malah ada yang sanggup mati demi melaksanakan misinya. Ada kes, jin sihir ini dalam “dilema” kerana jika dia keluar maka keluarganya menjadi taruhan akan dibunuh. Perawat juga terpaksa mencari barang sihir yang menjadi punca penyakit tersebut. Kadang-kala barang sihir itu ada dalam pesakit sendiri dan kadang-kala barang sihir itu berada di luar badan pesakit seperti di tanam di halaman rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Kadang kala, perawat terpaksa bertempur dengan penyihir secara batin.

Dalam kes jin saka, proses mengeluarkannya akan mudah jika kena dengan caranya. Jin  saka ialah jin yang terikat dengan perjanjian datuk atau nenek yang terdahulu yang akan terus mencari waris keturunan untuk berkhidmat. Hal ini tidaklah menghairankan kerana usia jin sangat panjang berbanding dengan manusia. Perawat perlu mengeluarkan jin saka ini dan pesakit perlu melafazkan ikrar pemutus saka dan mengamalkan amalan khusus untuk membenteng diri. Ada kalanya satu keluarga perlu dirawat kerana simpton gangguan jin saka ini yang hampir sama. Bukankah usaha merawatnya memakan masa?

Tidak dapat dinafikan, tugas perawat sangat berisiko untuk menjadi mangsa serangan balas jin (saka atau sihir). Jika perawat takut berhadapan dengan ujian dan risiko, maka siapa lagi yang akan diharapkan? Dalam hal ini perawat perlulah ada ilmu dan meletakkan pergantuangan kepada Allah semata-mata. Sesungguhnya tipu daya jin dan syaitan sangatlah lemah. Sifat ikhlas, yakin dan redha kepada Allah amat ditekankan untuk menjadi perawat sejati.

Kepada pesakit yang menjadi mangsa jin (saka atau sihir), janganlah cepat berputus asa dalam berubat. Janganlah sekali berubat terus mengharapkan kesembuhan.. hal ini rasanya tidak logik kerana jika kita mendapatkan rawatan di hospital sekalipun, maka akan ada proses temu janji atau ulangan susulan. Begitu juga dengan rawatan berkaitan gangguan jin (saka atau sihir) perlu kepada rawatan susulan atau ulangan. Janganlah cepat berputus asa.

Usaha perawat katakanlah sekadar 40% sahaja, manakala selebihnya 60% adalah atas daya usaha dan ikhtiar berterusan daripada pesakit sendiri. Ada saya berjumpa kes, pesakit malas untuk beramal dengan amalan yang diberikan dan mengharapkan perawat sahaja berdoa untuk dirinya...bolehkah begitu? Tentu bunyinya agak mustahil.             

Kata orang tua-tua “ Penyakit datang macam ribut dan hendak baik / pulih macam semut”

Sekian, perkongsian pada kali ini.  Jumpa lagi.