Monday 30 June 2014

GANGGUAN SYAITAN PADA BULAN RAMADAN



Assalamu’alaikum wwt.

Saudara pembaca yang dimuliakan..

Bulan Ramadan 1435 Hijrah kembali menemui kita pada tahun ini. Bersyukurlah kita kepada Allah kerana telah dipilih  menjadi tetamu Ramadan yang diberkati. Justeru, marilah kita sama-sama merebut peluang dan ganjaran yang tinggi pada bulan ini. Halangan daripada syaitan-syaitan (daripada jin dan manusia) sebenarnya telah dikekang dan dirantai pada bulan yang mulia ini..

Tulisan pada kali ini ingin menyingkap rahsia gangguan syaitan pada bulan Ramadan..

Pendahuluan

Apabila tibanya bulan Ramadhan, sebagaimana biasa kita akan mendengar satu hadis yang sering dibacakan oleh para ustaz di masjid-masjid atau diperdengarkan kepada khalayak ramai iaitu hadis yang datang dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.." Hadis ini diriwayatkan Bukhari dan Muslim. Imam Muslim Rahimahullah menyebut hadis ini dalam kitab Shiam (Puasa) dan begitu juga dengan Imam Bukhari yang meletakkan hadis di dalam kitab Shaum (Puasa). Namun lafaz yang dibawa oleh Imam Bukhari berlainan dari Muslim walaupun dari periwayat yang sama iaitu : "Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit, dan ditutup pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.." Namun, perbezaan lafaz ini tidak membawa kepada perbezaan makna hadis.

Persoalannya : Adakah syaitan benar-benar dirantai di bulan Ramadhan sehingga tidak dapat menjalankan aktivitinya seperti biasa? Kalau ini yang terjadi, bagaimana pula yang berlaku pada hari ini di mana dilihat kemaksiatan yang berlaku di bulan Ramadhan tidak kurang hebatnya daripada yang berlaku di bulan yang lain? Atau adakah rantai tersebut hanyalah satu simbolik (majaz)?

Beberapa Pendapat

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa proses perantaian tersebut hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa memandangkan orang-orang Islam sudahpun berpuasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Dalam erti kata lain, puasalah yang menjadi punca kepada perantaian ini dan kepada orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat puasa, pengaruh syaitan ke atas dirinya samalah seperti bulan-bulan yang lain.

Illustrasi syaitan dirantai
 
Walau bagaimanapun, Imam Nawawi sendiri tidak menolak kemungkinan maknanya yang zahir iaitu syaitan-syaitan benar-benar dirantai pada bulan Ramadhan bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan. Manakala hakikat yang terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang berpuasa tetap meneruskan kemaksiatan ialah kerana puasa mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak dihayati sebagaimana yang sepatutnya. Apabila puasa tidak dihayati sepenuhnya, pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun syaitan sendiri sudahpun dirantai. Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.

Ya.. yang diikat dan dirantai itu adalah syaitan, tetapi tidak semua makhluk halus turut diikat seperti jin.. Pada pendapat saya, yang mengganggu dan merasuk manusia ketika bulan Ramadan adalah jin. Walau bagaimanapun marilah kita memahami hakikat syaitan ini.

Memahami Hakikat Syaitan

Syaitan adalah mufradnya dari Syayathin. Syeikh Ahmad Asshawi telah berkata mengenai makna dan asal Syaitan didalam tafsirnya, pada juz 1, halaman 5, sebagai berikut:

Ertinya: Dan lafaz syaitan itu asalnya Syathana, ertinya jauh dari rahmat Allah. Ada juga dikatakan berasal dari Sya-tha ,dengan makna ihtaroqa ertinya; terbakar. Dan syaitan itu nama bagi tiap-tiap yang derhaka dari bangsa jin dan manusia.

Daripada keterangan diatas, dapatlah kita pastikan bahawa syaitan itu adalah nama sifat dan tidaklah ia diberi bentuk atau asal tertentu. Kalau jin bersifat derhaka, maka dialah syaitan. Begitu juga jika ia manusia yang bersifat derhaka, maka dialah syaitan. Kadangkala lafaz syaitan juga diberikan kepada Iblis laknatullah. Diterangkan dalam Surah Al-An'Am ayat 112, seperti berikut :
Ertinya: Dan demikianlah telah kami jadikan bagi tiap tiap nabi itu musuh musuh berupa syaitan yang terdiri daripada jin dan manusia, yang membisikkan setengah mereka itu kepada sesetengahnya akan kata kata yang dihiasi dengan tipudayanya.

Syaitan manusia itu kadangkalanya adalah diri kita, isteri kita, teman kita atau anak anak kita yang membuat kita berpaling dari taat kepada Allah

Malik bin Dinar berkata:
Ertinya: Sesungguhnya syaitan manusia itu lebih hebat ke atasku daripada syaitan jin, maksudnya : apabila aku berlindung kepada Allah, maka berlalulah syaitan jin. Sedangkan syaitan manusia itu datang kepadaku,maka diseretlah aku kepada segala kemaksiatan:

Hujjatul Imam Al-Ghazali berkata:
"Berhati hatilah engkau kepada syaitan manusia, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan manusia itu telah memberi kesenangan kepada syaitan-syaitan jin daripada keletihanya.”

Daripada keterangan diatas, dapatlah kita perhatikan bahawa Iblis laknatullah adalah syaitan kerana ia telah membangkang dan derhaka pada perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Sedangkan syaitan bukanlah iblis, kerana Iblis adalah lafaz untuk menyebut seorang jin yang tertentu yang bernama Azazil. Pada setiap orang terdapat syaitan akan tetapi pada setiap orang tidak ada iblis

"Bahawa Aisyah,isteri Nabi s.a.w mengatakan, "Rasulullah s.a.w keluar pada satu malam daripada sisinya. Aisyah berkata, "Aku lalu berlari mengejar baginda hingga mendapatkanya. "Melihat apa yang aku lakukan, Baginda berkata, "ada apa dengan kamu wahai Aisyah,apakah kamu cemburu?" Aisyah berkata,"bagaimana orang sepertiku tidak cemburu terhadap orang seperti kamu". Baginda kemudian berkata, "Atau syaitan telah datang kepada kamu? Aisyah berkata,"adakah padaku ada syaitan? Baginda berkata, "Ya". Aisyah berkata lagi, "apakah dia juga ada pada setiap orang". Nabi berkata"Ya". Aisyah berkata,"apakah pada kamu juga? Nabi menjawab, "Ya,hanya saja Allah menolongku untuk menakluknya sehingga ia memeluk islam" (riwayat muslim)

Kesimpulan

Bagaimana saudara? Jelaslah daripada keterangan tersebut, dapat kita membuat kesimpulan bahawa syaitan itu adalah nama bagi tiap-tiap yang derhaka dari bangsa jin dan manusia. Kalau jin bersifat derhaka, maka dialah syaitan. Begitu juga jika ia manusia yang bersifat derhaka, maka dialah syaitan.

Kalau syaitan dikalangan jin yang derhaka, maka layaklah jin tersebut diikat dan dirantai di bulan Ramadan tetapi jika syaitan di kalangan manusia, bagaimana? Kena ikat dan dirantai jugakah? Saudara pembaca carilah sendiri jawapannya....

Sebagai kesimpulannya, pemahaman para ulama' terhadap hadis yang menyatakan syaitan-syaitan dirantai terbahagi kepada dua iaitu memahaminya secara simbolik ataupun memahaminya di atas maknanya yang zahir. Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak bertentangan antara satu sama lain. Seandainya seseorang itu berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka sesungguhnya dia telah merantai syaitan daripada mendekati dirinya.

Selamat menjalani ibadah puasa...

Sumber:

Wednesday 18 June 2014

JIN ASYIK : Waspada dengan kehadirannya...



Assalamu’alaikum wwt..

Alam jin begitu luas dan penuh dengan tipu daya. Manusia selalu terdedah dengan gangguan jin termasuklah apa yang dikatakan dengan jin asyik. Kebanyakkan kita tidak sedar yang kita sudah masuk ke dalam perangkap jin asyik. Mengapakah hal ini berlaku? Tulisan pada kali ini cuba mengupas sedikit sebanyak permasalahan jin asyik yang sering berlaku kepada manusia yang lalai dan tidak berwaspada...


Pengenalan

Gangguan jin asyik boleh terjadi jika ada jin jantan telah jatuh cinta dan asyik kepada seseorang perempuan, atau jin betina cinta kepada seorang lelaki. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah berkata : "Gangguan dari jin kepada manusia kadang kadang kerana hawa nafsu dan asyik (jatuh cinta) sebagaimana ianya berlaku sesama manusia" (majmu' al-Fatwa)

Gangguan jin asyik pada manusia itu biasanya bermula di peringkat kanak-kanak atau remaja lagi. Jin berkenaan sentiasa memerhatikan pesakit dalam tempoh yang lama. Dia melihat pesakit seperti mana kita melihat ikan laga dalam botol atau pun seperti menonton filem Hindustan yang mana pesakit adalah tumpuan sebagai hero/heroin filem berkenaan. Dia mendengar pesakit menyanyi, memerhatikannya tidur, mandi, berdiri di hadapan cermin, bersolek, membuka pakaian serta memakai pakaian dan sebagainya yang akhirnya menimbulkan bibit-bibit cinta dan sayang jin berkenaan kepada pesakit.

Apabila pesakit semakin dewasa, pesakit seboleh mungkin dihalang dari mempunyai pasangan kekasih mahupun berkahwin. Apabila ada sesiapa yang nak meminang, jin ini berusaha keras menggagalkannya dengan menghodohkan wajah pesakit, merosakkan kereta rombongan, mempengaruhi pesakit agar menolak pinangan. Jika semua gagal, jin ini berusaha menimbulkan permusuhan antara pesakit dengan pasangannya.

Adakala gangguan mula menjadi kronik setelah bertunang. Jin asyik ini kuat cemburu. Apabila jin ini sukakan seseorang sama ada lelaki atau perempuan, dia sentiasa akan berusaha memilikinya. Sebaliknya, apabila jin ini  tidak suka, dia akan menggunakan tipu helahnya bagi memporak perandakan pesakit sehingga akhirnya berpisah atau bercerai.

Mungkin bersama dengan jin asyik
Jin asyik juga boleh berasal dari jin saka mahupun jin sihir yang telah bertapak lama pada pesakit. “Jin asyik” dikategorikan sebagai jin yang menyukai, menyintai dan menjadikan manusia-manusia tertentu sebagai idola atau pujaan atau kekasih mereka. Ada diantara kes-kes yang serius sehingga jin-jin itu bersetubuh atau berkahwin dengan manusia sehingga melahirkan anak-anak jin.



Tanda-tanda atau Punca Gangguan Jin Asyik

Kebanyakan kes-kes gangguan jin asyik tidak disedari oleh pesakit sehinggalah mereka datang untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan. Berkut adalah beberapa tanda yang boleh dijadikan panduan untuk mengenali gangguan jin asyik;

Ketika sedar atau jaga..

  • Pesakit sering mengadu sakit kepala. 
  • Terdapat tanda lebam terutama di peha, betis, tangan, perut, kemaluan dan sebagainya.

 
Awas jika ada tanda lebam pada bahagian anggota badan

  • Sakit yang sukar diubati seperti sakit kulit. 
  • Pesakit adakalanya mendengar, nafas, bisikan atau suara terutamanya ketika berbaring. 
  • Selalu meninggalkan solat atau susah untuk mengerjakan solat. 
  • Sukar untuk berzikir dan membaca Al-Quran. 
  • Sering berasa was-was. 
  • Berasa  amat sensitif dan mudah berasa hati walaupun atas perkara-perkara remeh. 
  • Suka bersendirian dan tidak suka diganggu. 
  • Merasakan dirinya sangat cantik atau kacak. 
  • Adakala tidak suka mempunyai pasangan. 
  • Hubungan dengan pasangan biasanya tidak  kekal. Selalu bertukar-tukar pasangan. 
  • Selalu bergaduh dengan pasangan atau orang yang rapat dengannya. 
  • Tidak suka bercakap tetapi lebih banyak mendengar dan berkhayal. 
  • Jika bercakap selalunya perkara yang sia-sia atau keterlaluan. 
  • Banyak tidur pada waktu  siang hari dan berjaga pada waktu malam. 
  • Suka mendedahkan aurat di dalam rumah. Kadang kala, ada yang bertelanjang di hadapan cermin sambil mengagumi tubuh badan sendiri. Tanpa pesakit sedari Jin Asyik memerhati setiap gerak-geri pesakit sehingga pesakit dirasuk.
  • Mandi  atau duduk dalam bilik air terlalu lama. 
  • Mandi di dalam bilik air atau kolam dalam keadaan bertelanjang. 
  • Pesakit selalu dalam keadaan kena tindih. 
  • Tidur dalam keadaan bertelanjang atau memakai boxer atau berseluar pendek (tidak menutup aurat). 
  • Tidak suka dan marah jika ada orang yang cuba memberi nasihat atau cuba mengubah cara hidupnya kepada yang lebih baik. 
  • Tempat tidur tidak berkemas dan apabila orang lain tolong kemaskan biasanya pesakit akan marah. 
  • Suka bergelap atau bilik tidur bergelap atau berasa takut sehingga tidur buka lampu. 
  • Nafsu  yang kuat dan suka  ‘beronani’. 
  • Suka melihat dan membelai alat kemaluan, secara tidak sedar bahawa jin sedang berasmara dengannya. 
  • Merasa kagum dengan susuk badan atau alat kemaluannya.


Ketika  tidur lalu bermimpi..

  • Tidur bermimpi melihat seorang pemuda yang kacak atau wanita yang cantik. Dia mengajak berkahwin dan bersama. 
  • Bermimpi melakukan persetubuhan haram dengan pemuda atau wanita berkenaan. 
  • Bermimpi bersama-sama anak-anak kecil yang kononnya adalah anak-anak hasil perkongsian mereka.


Kesan mimpi bersama jin asyik...

  • Berlakunya hubungan seks di dalam mimpinya memakan masa yang agak lama, sepuluh minit atau lebih. 
  • Apabila dia sedar dari mimpi, akan terasa letih dan merasakan ianya benar benar berlaku. 
  • Mimpi ini selalu datang, kadang kadang dua, tiga kali seminggu atau setiap hari, malahan lebih teruk lagi bila terlelap sahaja bila bila masa dia akan bermimpi. 
  • Merasakan seolah olah ada orang tidur disebelahnya. 
  • Hilang nafsu ingin bernikah. 
  • Hilang nafsu kepada perempuan atau lelaki. 
  • Sekiranya dia telah berkahwin, merasa tidak selesa dengan pasangannya terutama ketika mahu melakukan hubungan kelamin. 
  • Apabila selesai melakukan hubungan kelamin dengan pasangannya, merasa tidak puas dan merasa amat letih.
  • Akhirnya, terdapat pesakit yang boleh melihat pasangannya dan anak-anaknya di sekitar katil dan ruang rumahnya. Pesakit pada tahap ini sudah tidak mahu dirawat dan merelakan diri kerana merasa puas dengan ‘kehidupannya’.


Kesimpulan

Dapatlah dikatakan bahawa gangguan jin asyik adalah berpunca daripada sikap dan perlakuan kita seharian yang mengundang kehadiran jin. Lebih parah lagi jika cara hidup kita lari daripada landasan agama Islam yang suci. Oleh itu sebaik-baiknya marilah kita kembali kepada cara hidup Islam secara zahir dan batin.

Mengeluarkan jin asyik ini adalah sangat sukar, lebih-lebih lagi sekiranya ia telah sebati dengan diri dan jiwa pesakit. Namun, kaedah yang paling berkesan mengatasinya adalah dengan tidak meninggalkan solat, memperbanyakkan membaca Al-Quran dan meninggalkan serta-merta semua amalan-amalan atau tabiat hidup yang mengundang jin asyik. Kebanyakkan Jin ini akan mati terbakar apabila ayat-ayat Al-Quran dibacakan di hadapan pesakit.

WaAllahualam.
Mudah mudahan sedikit pencerahan dari sang faqir ini memberi manafaat dan dapat mencegah supaya tidak menjadi mangsa gangguan JIN ASYIK.

Rujukan dan kredit kepada:

Saturday 14 June 2014

BILA MATI LEBIH BAIK BAGINYA..



Saudara pembaca yang dihormati..

Ajal dan maut sering mengintai kita pada setiap waktu. Kita tidak tahu bila  hayat hidup kita akan berakhir. Detik kematian tidak mengira umur. Ada yang muda mati dahulu daripada yang tua, ada yang sihat mati dahulu daripada yang sakit dan sebagainya.  Semuannya ini adalah ketentuan daripada Allah Yang Maha Berkuasa.

Alkisah..

Baru-baru ini semasa cuti sekolah pertengahan penggal pertama, saya pulang bercuti ke rumah orang tua saya di Felda Cini 1. Saya dikhabarkan oleh emak saya bahawa ada jiran yang meminta pertolongan saya untuk merawat sakit misteri. Sakit misteri apakah gerangannya tidak tahulah saya untuk mentaksirkannya. Dalam hal ini, saya tidak dapat lagi menghampakan permintaannya kerana beliau berpesan sekiranya saya balik agar dapat menolongnya.

Maka pada pagi itu saya bersama ibu saya pun berkunjung ke rumahnya...

Rumah Pertama:
Saya diminta merawat seorang anak perempunya dalam lingkungan 28 tahun yang suka berjalan tanpa haluan dan bercakap seorang diri. Kadang-kadang pesakit mendengar suara bisikan yang mengajaknya berbual dan memberi arahan. Tidur malamnya pun kadang-kala kerap terganggu dek suara misteri tersebut. Sebelum merawat, saya mengajaknya berbual-bual dan sedikit sebanyak mencungkil rahsia penyakit yang dihidapinya. Benarlah bahawa selama ini beliau sering mendengar bisikan ghaib yang hanya beliau sahaja yang mendengarnya. Bila orang lain melihat perihal keadaannya, sudah tentu beliau dituduh tidak siuman. Kasihan gadis itu. Proses rawatan berlangsung dengan aman iaitu tidak menunjukkan gejala agresif. Namun saya dapat menangkap isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Seperti biasa, saya cuba menarik keluar gangguan yang bersarang di dalam tubuhnya. Nampaknya ada sedikit perubahan dan rawatan susulan perlu dilakukan bagi memastikan keadaannya benar-benar sembuh dengan izin Allah..

Rumah kedua:
Selesai merawat gadis tersebut, saya diminta pula menjenguk dan merawat jiran selang dua buah rumah dari rumah pertama. Tanpa menghampakan permintaannya, saya bersama ibu saya berkunjung ke rumah kedua. Hati saya tersentuh melihatkan pesakit lelaki (peneroka) yang telah terlantar sakit selama 7 tahun tanpa boleh menguruskan diri sendiri, ibarat mayat hidup. Ya, 7 tahun...agak lama derita yang terpaksa ditanggungnya akibat penyakit stroke. Dikhabarkan oleh isterinya bahawa pesakit telah mendapatkan rawatan daripada bomoh di Pekan, tetapi cara rawatannya agak pelik. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang rawatan tersebut. Dalam hati saya terdetik jika kematian itu baik baginya, maka lebih baik pesakit ini pergi mengadap Ilahi...

Proses rawatan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Ruqyah Nabawiyah. Seluruh konsentrasi saya tumpukan sambil berserah kepada Allah. Biarlah Allah jua yang menentukan kesudahanya kerana saya percaya Allah yang menurunkan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Diselang seli dengan bacaan ruqyah, saya juga memakrifatkan menarik keluar semua penyakitnya sama ada yang zahir mahupun yang batin malah lebih-lebih lagi jika berpunca daripada gangguan jin dan syaitan. Selesai rawatan, saya pun pulang ke rumah.

Sekembalinya saya pulang ke Bandar Jengka, saya tidak berapa ingat lagi perihal pesakit lelaki itu. Seminggu berselang, saya mendapat khabar duka bahawa pesakit lelaki itu telah pergi mengadap Ilahi. Innalillahi wainna ilaihiroji’un.

Solat Jenazah...


Bila mati baik baginya, biarlah dia pergi.  ALFATIHAH

Ingatlah bahawa kita semua akan mati. 
Sebenarnya MATI ITU SEKADAR BERPINDAH ALAM

Sekian sahaja coretan daripada hamba yag fakir.

Wednesday 11 June 2014

MEMUTUSKAN SIMPULAN SIHIR



Salam ukhwah buat saudara pembaca blog saya ini...

Sebelum ini saya ada menyiarkan tulisan berkenaan dengan “Simpulan Sihir” yang berkisar tentang apakah rahsia disebalik terjadinya simpulan sihir dan kaedah rawatan secara umum.

 
Simpulan Sihir perlu dicari dan diputuskan..

Untuk memastikan serangan sihir yang menimpa manusia dihentikan, maka simpulan atau buhul sihir mestilah dicari dan dimusnakan terlebih dahulu. Apabila simpulan sihir tersebut telah musnah, maka proses penyembuhan penyakit sihir akan lebih mudah.  Namun begitu, amalan-amalan harian pesakit seperti zikir dan doa-doa  perlindungan daripada al-Quran perlu sentiasa terucap di bibir dan meresap didalam hati agar serangan sihir tidak berulang kembali. InsyaAllah.....Percayalah bahawa tipu daya sihir (jin dan syaitan) amatlah lemah. 

Bukanlah Semudah Yang Disangka

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” merupakan peribahasa Melayu yang paling tepat untuk menggambarkan kesengsaraan dan derita penyakit sihir. Apa tidaknya, ada bahana sihir yang berupaya memecah belahkan keluarga hatta sehinggga ada pasangan yang bercerai. Ada juga pesakit yang menderita sehingga ke hujung nyawa. Justeru, untuk membebaskan diri daripada penyakit sihir, pelbagai ikhtiar diusahakan...bahkan ada yang sanggup berhabis tenaga dan wang ringgit untuk sembuh.

Menceburi diri di dalam rawatan Islam, memberikan satu pengalaman yang berharga buat saya. Saya mengaku bukanlah seorang yang pakar dalam menangani hal-hal sihir dan rawatan sihir tetapi pesakit yang datang tidak dijangka. Banyak kes yang saya hadapi berkait dengan masalah sihir. Proses merawat sihir ada banyak peringkat. Ada yang agak mudah dan tidak terkecuali ada yang sukar.

Simpulan sihir banyak digunakan oleh tukang untuk menyihir mangsanya. Teknik ini dengan izin Allah adalah untuk memutuskan buhul sihir, menghilangkan kekuatan barang sihir, bahkan menghancurkan barang sihir walaupun kita tidak tahu lokasi barang sihir itu berada dengan menggunakan energi surat al-Mu'awwidzatain (al-Falaq dan an-Naas).

Kaedah pelaksanaannya :

A. Persiapan Tempat


  • Pastikan tempat untuk melakukan terapi tidak ada gambar atau patung makhluk bernyawa. 
  • Pastikan lokasi tidak bising dan tiada muzik. 
  • Pastikan tempatnya bersih, rapi dan harum. 
  • Bentengi tempat tersebut daripada serangan jin dan sihir dengan Ayat Kursi sebanyak 7 kali.
B. Persiapan Zahir Batin
  • Seelok-eloknya perawat perlulah mandi terlebih dahulu. Hal ini untuk memastikan bahawa perawat berada dalam keadaan yang segar dan badan tidak berbau busuk.     
  • Pastikan juga perawat memakai pakaian yang bersih dan bersesuaian dengan imej perawat Islam. Lebih elok jika perawat memakai haruman seperti minyak kasturi.  
  • Usahakan jika ada waktu dan kelapangan untuk mendirikan Solat 2 rakaat dan memohon kepada Allah agar memberkati usaha kita seperti lafaz berikut : "Ya Allah Ya Tuhanku, hamba memohon agar diberi pertolongan dan kekuatan untuk menghilangkan kekuatan sihir, memutuskan simpulan sihir, memutuskan ikatan jin pembawa sihir, memusnahkan semua kekuatan mantera sihir hingga tidak punya daya kekuatan lagi untuk menyakiti hamba-Mu ini. Lindungilah hamba dari kembalinya lagi sihir pada diri hamba. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Engkau Ya Allah Ya Rabbal’alamiin".

  • Benteng diri dengan membacakan 3 Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas 3 kali) lalu tiupkan pada kedua tapak tangan lalu usapkan ke seluruh tubuh 3 kali) atau mana-mana doa perlindungan yang mengikut syariat.  
  • Pastikan emosi pesakit dalam keadaan stabil. Jangan teruskan teknik ini jika pesakit tidak dapat mengawal diri atau kerasukan.
C. Pelaksanaan Terapi
  • Dudukkan pesakit dalam keadaan yang selesa (boleh juga berbaring). Minta pesakit baca ta'awuz dan doa: “Cukuplah Allah bagi kami dan dia sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik pelindung, sebaik penolong.” 
  • Perawat memulakan dengan bacaan ayat-ayat ruqyah dengan suara yang kuat dan sesekali meletakkan tapak tangan ke ubun-ubun pesakit.
D. Jika Ada Reaksi
  • Untuk sihir yang berat biasanya ada reaksi semasa mendengar ayat-ayat ruqyah syariah. Biasanya  badan pesakit akan  bergetar atau rasa kebas atau rasa menyucuk pada bahagian anggota tubuh tertentu. Ini menrupaka petunjuk awal bahawa di tempat anggota tubuh tersebut merupakan tempat  simpulan (buhul) kabel penghubung sihir masuk ke dalam tubuh pesakit.
  • Jika ada reaksi di bahagian anggota tertentu, minta pesakit fokus di tempat tersebut dan niatkan agar energi ruqyah difokuskan pada bahagian tubuh tersebut. Selepas itu, doa agar kabel sihir diputuskan dan memutus hubungan sihir dari badan pesakit.
  • Jika Allah Taala memberikan petunjuk dalam pandangan batin, kebiasaannya pesakit akan melihat simpulan seperti benang yang masuk ke dalam tubuh. Niatkan gelombang energi surat al-Mu'awidzatain memutuskan seluruh benang/kabel penghubung sihir.
  • Setelah putus, niatkan agar kabel itu ditanamkan ke dalam bumi dengan membaca surah al-Anfaal ayat 17 7 kali.
  • Kemudian baca "Yasin" 7 kali dengan niat mengunci kabel. Jika melihat adanya barang sihir (gambar, rambut, kuku, baju, patung dsb), maka fokuskan agar energi surat al-Mu'awidzatain menuju ke tempat barang sihir itu berada dan niatkan agar ianya habis terbakar, terputus kabelnya dan hilang kekuatan menyihir walaupun tukang sihir membaca mantera lagi.
  • (Teknik ini dilakukan jika pesakit dengan izin Allah boleh melihat kabel dan barang sihir, jika tidak fokuskan saja pada bahagian yang kebas atau menusuk atau panas atau sejuk dengan niat menghancurkan kekuatannya dan memutus hubungan sihir ke badan kita.) Terus fokuskan fikiran sampai semua reaksi tersebut hilang.
  • Setelah semua kabel sihir diputuskan, bacakan 3 Qul ( al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas 3 x) ditelapak tangan lalu tiup. Setelah itu, usapkan pada seluruh tubuh dengan niat untuk membuang sisa-sisa kabel sihir.
  • Kaedah tersebut di atas boleh lakukan secara berulang kali hingga pesakit sembuh sepenuhnya. Wallahu a’lam
Perangi dan Hancurkan Sihir...

Sekian coretan daripada hamba yang fakir ini...moga kita bertemu lagi