Monday 25 August 2014

DIHORMATI OLEH JIN



Assalamu’alaikum wwt.

Bukanlah dikatakan perawat yang hebat itu kerana telah menghafal dan menguasai pelbagai ayat-ayat ruqyah dan berguru dengan ramai guru dalam bidang perubatan Islam. Apa gunanya semua itu jika tidak seiring dengan hebatnya ketaqwaan kepada ALLAH. Dengan ketinggian taqwa kepada Allah, nescaya akan memudahkan usaha perawat merawat pesakit lebih-lebih lagi penyakit yang berkaitan dengan gangguan jin dan syaitan.

Sebab itulah tugas perawat itu bukanlah semudah yang disangka oleh sesetengah orang. Dalam hal ini saya suka mengambil satu kisah akan ketaqwaan Imam Ahmad bin Hanbal. Siapakah insan yang bernama Imam Ahmad bin Hanbal dan mengapakah  jin sangat hormat kepadanya?

Ikuti tulisan ini seterusnya......

Imam Ahmad Bin Hanbal (164 hijrah-241 hijrah)

Beliau ialah Abu Abdillah Ahmad Bin Hanbal Bin Hilal Bin Asad Asy-Syibaaniy. Beliau telah dilahirkan di Baghdad pada tahun 164 hijrah bahkan menetap di situ. Bapa beliau telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi,lalu beliau pun dijaga oleh ibunya sahaja dan telah menasihati beliau agar mempelajari ilmu agama, maka beliau pun menghafaz Al-Quran dan telah memperdalami ilmu Bahasa Arab. Ketika beliau berumur 15 tahun, beliau pun mulai mempelajari Ilmu Hadith,dan beliau telah mengembara ke berbagai-bagai bandar dan negara untuk mempelajari ilmu seperti di Kufah, Basrah, Mekah, Madinah, Syam dan Yaman. Hasil daripada pengembaraan ilmiah ini telah membuatkan beliau mengetahui betapa banyak hadith-hadith nabi yang mulia,lalu beliau pun mengumpulkan hadith-hadith tersebut dan menghafaznya sehingga jadilah beliau imam yang hebat pada zamannya.

Beliau telah berjumpa dengan Imam Syafiey dan telah berguru denganya  dan merupakan diantara anak murid Imam Syafiey yang paling utama di Baghdad. Kemudian, beliau pun menjadi seorang mujtahid yang mustaqil. Para ulama’ telah menyifatkan beliau dengan gelaran Al-Haafiz dan Al-Hujjah, bahkan Imam Syafiey juga telah mengiktiraf keilmuan Imam Ahmad dan juga telah menyatakan kepercayaanya terhadap ketinggian ilmu Imam Ahmad bahkan ketika  Imam Syafiey meninggalkan Kota Baghdad dan ingin berhijrah ke Mesir untuk menetap di sana, beliau telah mengatakan : “ Telah aku tinggalkan Kota Baghdad ini,dan tidaklah aku meninggalkanya dengan seorang insan pun yang sangat bertaqwa dan sangat faaqih dari Imam Ahmad Bin Hanbal”

Maka ini merupakan suatu persaksian yang benar dari seorang imam yang sangat besar di dalam Ilmu Feqh kepada anak muridnya yang cerdik yang telah berguru denganya selama 2 tahun bermula dari tahun 195 hijrah sehinggalah ke tahun 197 hijrah. Oleh hal demikian, maka tidak peliklah Imam Ahmad merupakan seorang imam yang besar di dalam Ilmu Hadith dan juga imam di dalam Ilmu Feqh, dan begitu juga merupakan imam yang sangat wara’ dan zuhud. Beliau telah pergi menemui Allah Taala pada tahun 241 hijrah.

Jin Hormat kepada Imam Ahmad

Berkata al Qadhi Abu al Hasan bin al Qadhi Abi Ya'la bin al Farra' al Hanbali dalam kitab Tabaqat Ashab Al Imam Ahmad: Saya mendengar Ahamad bin U'baidillah berkata: saya mendengar Abu Hasan A’li bin Ahmad bin A’li al A'kbari yang datang dari A'kbara pada bulan Zulhijjah tahun 352H. Beliau berkata: Ayahku telah menceritakan kepadaku daripada datukku, dia berkata:

Saya pada suatu ketika berada di masjid Abi A'bdillah Ahmad bin Hanbal. Sultan al Mutawakkil telah menghantar perutusannya kepada Imam Ahmad supaya memberitahunya bahawa seorang gundik perempuan sultan mengalami kerasukan. Lalu memohon daripada Imam Ahmad supaya mendoakan kesihatan untuknya. Sejurus kemudian Imam Ahmad mengeluarkan sepasang terompah kayu yang biasa digunakan untuk berwudhuk, lalu memberikannya kepada utusan tersebut seraya berkata: “Kamu pergi ke istana sultan dan duduk di bahagian kepada perempuan itu. Cakapkan kepada jin itu; "Ahmad bertanya kepadamu: Mana di antara dua perkara yang kamu sukai; kamu keluar dari tubuh perempuan ini atau kamu dipukul dengan terompah ini tujuh puluh kali!"

Utusan tersebut kemudiannya beredar ke istana sultan dan melakukan apa yang diarah oleh Imam Ahmad. Lalu jin yang merasuk tadi, melalui lidah perempuan itu berkata: “Kami dengar dan kami taat... dan sekiranya Ahmad mengarahkan kami keluar dari negeri Iraq sekalipun kami akan keluar. Dia sebenarnya seorang yang sangat taatkan Allah. Sesiapa mentaati Allah, segala sesuatu akan mentaatinya juga”. Jin itu keluar dari tubuhnya. Perempuan itu seterusnya kembali sihat dan kemudiannya dikurniakan beberapa orang cahaya mata.

Setelah kewafatan Imam Ahmad, jin tersebut sekali lagi mengganggu perempuan itu. Sultan Mutawakkil sekali lagi menghantar utusannya kepada murid Imam Ahmad iaitu Abi Bakr al Mawarzi dan menceritakan kepadanya keadaan yang telah berlaku. Setelah itu al Mawarzi mengambil terompah kayu yang sama segera pergi ke istana sultan untuk mengubati perempuan itu. Jin yang merasuk itu berkata: “Aku tidak akan keluar dari sini. Aku tidak akan mentaati mu dan tidak mahu menerima mu. Adapun Ahmad, dia adalah seorang yang sangat mentaati Allah, dengan sebab itu kami mentaatinya”

Gambaran Jin

Kesimpulan

Sebagai seorang perawat, seharusnya taqwa kepada Allah diutamakan. Pertolongan Allah akan segera sampai jika kita bertaqwa kepada Allah. Baginda bersabda, maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At-Tirmizi dan Ahmad)

Sabda Baginda lagi, maksudnya: “Bertaqwalah terhadap perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kuat ibadah; redhakanlah dengan apa yang diberi oleh Allah kepadamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya; buatlah kebaikan kepada jiran kamu, nescaya kamu akan dapat keamanan, kasihilah manusia sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri, nescaya kamu akan selamat; jangan banyakkan ketawa kerana memperbanyakkan ketawa itu mematikan hati-hati.” (Riwayat At Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

"MARILAH BERTAQWA KEPADA ALLAH"


Kredit: