Wednesday 26 August 2015

JIN YAHUDI

Assalamu’alaikum wwt..

Saudara pembaca yang dihormati,

Keberadaan jin dalam kalangan manusia amat erat sekali. Dalam hal ini, manusia ditutup hijab pandangan untuk melihat alam jin tetapi makhluk jin dapat melihat alam manusia. Apabila kehidupan manusia sentiasa diperhatikan oleh jin, maka mudahlah manusia diserang dalam segenap segi. Apabila manusia lalai dan tidak membuat apa-apa persiapan pertahanan diri, maka pintu untuk jin menguasai manusia terbuka luas. Namun begitu, harus diingat bahawa manusia diutuskan oleh Allah sebagai ‘khalifah’ untuk mentadbir dunia ini. Selayaknya, status khalifah ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Janganlah pula kita dijadikan tunggangan jin dan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan kehidupan manusia. Syaitan dalam kalangan jin sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan hidup manusia. Dalam hal ini, bukanlah bermakna saya menuduh semua jin itu berbuat jahat kepada manusia. Ada jin yang baik dan ada juga jin yang jahat. Jin-jin yang baik biasanya beragama Islam dan tidak akan mengganggu kehidupan manusia Islam. Hanya jin-jin kafir sahaja yang suka mengganggu manusia beragama Islam termasuklah jin yang beragama Yahudi.  Paparan kisah pada kali ini ialah mengenai gangguan jin Yahudi kepada manusia.

Diserang Histeria

Pada malam itu, ketika saya berbaring dia atas katil untuk melelapkan mata, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. “Ah, siapa pula yang menelefon ni!, bisik saya perlahan. Saya mencapai telefon bimbit dan menjawab panggilan. Kedengaran suara dalam keadaan yang panik meminta saya membantunya untuk merawat anaknya yang bersekolah agama di Kuala Krau telah diserang histeria atau gangguan jin. Dalam keadaan ini, mahu tidak mahu saya terpaksa menolong  juga kerana merasakan amanah yang perlu dipikul sebagai perawat Islam. Tambahan pula, si pemanggil ini saya kenali kerana pernah bertugas sebagai guru pengawas peperiksaan SPM dua tahun yang lepas. “Baiklah, bawalah anak awak ke sini”, balas saya.

Kira-kira setengah jam, maka sampailah sahabat saya itu ke rumah saya bersama anaknya yang diserang histeria itu.  Pada awalnya, anaknya itu tidak mahu turun daripada kereta kerana takut. Saya membacakan beberapa potongan  doa ringkas untuk melemahkan gangguan jin tersebut. Anaknya itu dipapah untuk dibawa ke dalam rumah saya.

Dalam keadaan kritikal begini, iaitu ketika pesakit menunjukkan reaksi ganas, perawat pun terpaksa bertindak ganas juga. Maksudnya, tunjukkan ketegasan dan sifat garang untuk membuatkan jin-jin pengganggu itu tunduk kepada kita. Suara hendaklah dikeraskan dan bacaan ayat-ayat pembatal sihir dan jin perlu diucapkan dengan jelas dan lantang. Janganlah pula berlembut dan membaca ayat-ayat yang panjang berjela, hanya membuang masa sahaja. Teruskan kepada perintah supaya jin-jin pengganggu itu keluar.

“Wahai jin, keluar sekarang”, bentak saya. “Ana khalifatullah”, sambung saya seterusnya. Pesakit kelihatan mengeliat dan kedua-dua kaki dan tangannya bergetar.
“Siapa kamu dan di mana kamu tinggal?”, soal saya keras.
“Aku tinggal di asrama budak itu. Aku jin Yahudi” jawabnya.
“Mengapa kamu ganggu dia?”, soal saya.
“Aku perhatikan dia dan dia suka bersendirian, sebab itulah aku masuk”, jawabnya.

“Oh, jin Yahudi rupanya!”. Bisik saya perlahan. Pada ketika itu timbul ilham dalam benak saya untuk berdakwah kepada jin yahudi tersebut akan agama Islam. Saya tidak pasti  sama ada jin itu berbangsa Yahudi atau beragama Yahudi. Saya jelaskan kepadanya akan keesaaan Allah dan Muhammad Rasulullah saw. Juga saya tegaskan akan balasan di akhirat nanti bagi jin atau manusia yang berbuat kejahatan dan ingkar kepada Allah. Namun begitu, saya tidak memaksa jin itu memeluk Islam kerana tiada paksaan dalam agama. Saya mengharapkan agar jin tersebut faham dan terbuka hatinya tentang Islam.

Memeluk Islam

Dengan izin Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, jin Yahudi tersebut bersetuju untuk memeluk agama Islam dan sanggup dihantar ke Serambi Madinah. Lokasi Serambi Madinah dipilih adalah bertujuan supaya jin-jin yang baru memeluk agama Islam dapat belajar dan mendalami agama Islam di sana. Apabila berada dalam suasana beragama, maka sudah tentu penghayatan dalam agam Islam semakin kukuh. Saya mengharapkan begitu. Semoga Allah membantu saya.

Seterusnya saya membimbing jin Yahudi tersebut agar mengikut saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Suaranya bergetar mengikut bacaan dua kalimah syahadah tersebut. Saya juga menasihatinya supaya jangan masuk lagi dalam badan mana-mana manusia selepas ini. Dengan izin Allah saya menariknya keluar melalui kaki dan memakrifatkan dihantar ke Serambi Madinah. Semoga usaha ini diberkati Allah. Amin..

Nasihat dan Pengajaran

Alhamdulillah, saya mengambil masa yang agak singkat untuk menguruskan kes kerasukan ini. Semuanya atas bantuan Allah jua. Biasalah, ada kes yang berat dan ada juga kes yang ringan. Berat atau ringannya kes yang kita tangani, bukanlah bergantung atas ilmu yang kita ada tetapi atas izin Allah jua. Jangan riak atau takbur. Jangan sombng dan jangan ego, kelak memakan diri. Jadikah seperti resmi padi, semakin tunduk, semakin berisi.

Pelajar yang kerasukan jin Yahudi tersebut belajar di sekolah agama. Sudah menjadi lumrah, pelajar yang mendalami agama Islam sentiasa ada cabaran termasuklah jin-jin jahat. Dari penceritaannya, pelajar keluar seorang diri pada waktu senja untuk mengambil kain bajunya di ampaian. Ketika itulah dia dimasuki jin dan kerasukan. Pada waktu senja, elakkan berkeliaran di luar rumah atau di asrama.

Jika ada ruang dan peluang berdakwah, laksanakan dengan segera walaupun kepada bangsa jin. Cakaplah apa saja berkaitan dengan Islam, nescaya Allah akan memberi hidayah dengan sebab nasihat kita itu.

Sekian sahaja perkongsian buat kali ini.

Selamat mengikuti blog saya..

Tuesday 25 August 2015

PELESIT TIDAK BERTUAN

Nampaknya ada banyak gelaran bagi jin atau hantu. Salah satu gelaran tersebut ialah ‘Pelesit’. Umum mengetahui bahawa keberadaan jin pelesit ini memang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Orang tua dulu-dulu ada yang membela jin pelesit ini bagi kegunaan tertentukhususnya bagi wanita. Seiring dengan arus permodenan, khidmat jin pelesit tidak mahu digunakan lagi. Waris-waris yang ada pun sudah takut untuk berkawan dengan jin pelesit ini. Apabila pelesit ini tidak bertuan, maka dia akan mencari sesiapa sahaja yang dirasakan berkenan di hatinya. Hal inilah yang menjadi fokus dalam post kali ini.

Sedikit Info tentang Pelesit

Menurut maklumat dalam wikipedia.org., hantu pelesit adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Pelesit ini perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu pelesit tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu pelesit akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan. Hantu Pelesit dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Selain itu hantu pelesit juga digunakan bagi mendapatkan wang. Hantu pelesit akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Belalang Pelesit

Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka. Hantu pelesit biasanya dikatakan disimpan dalam botol kecil dan diberi makan darah yang dititik daripada hujung jari tuannya setiap kali bulan mengambang.

Hantu pelesit akan membuat tuannya susah hendak mati kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh tuannya sendiri. Wallahu’aklam...

Rawatan dan Reaksi

Saya ada satu kes dalam menangani gangguan jin pelesit ini..

Dua minggu yang lepas, saya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang ingin mengajak ke Felda Jengka 18 bagi mengubati ibu mertuanya yang sakit. Saya tidaklah berapa suka datang ke rumah pesakit kerana sebab-sebab tertentu. Oleh itu saya mensyaratkan agar dia membawa ibu mertuanya ke rumah saya. Lainlah kalau pesakit itu terlalu uzur tidak boleh berjalan atau terlalu tua tidak berdaya untuk bangun.  Setelah temu janji ditetapkan, dia membawa ibu mertuanya ke rumah saya. Dilihat dari aspek fizikal, ibu mertuanya itu masih lagi sihat dan boleh berjalan. Saya bertanya serba sedikit tentang simpton penyakit yang dialaminya. Beliau menceritakan bahawa kerap diganggu dan sukar tidur pada waktu malam.

Tanpa membuang masa, saya menyuruhnya duduk berlunjur dengan kaki menghala ke pintu. Saya menyentuh tapak tangan kanan ke kepala pesakit dan membaca istighfar dan selawat serta doa pengusir syaitan. Tiba-tiba kedengaran suara pesakit (jin) memarahi saya kerana menganggunya. Ketika itu saya tersenyum kerana dari pengalaman yang lepas-lepas, jika pesakit bereaksi dengan pantas, maka mudahlah kes tersebut ditangani dengan izin Allah.

“Mengapa ganggu aku” bentaknya keras. Saya tidak melayan soalannya .
“Hai jin, siapa kamu dan mengapa kamu ganggu pesakit ini?”, soal saya dengan keras.
“Aku pelesitlah. Aku suka kat orang ni” jawab pelesit tersebut.
“Siapa tuan kau?” tanya saya lagi. Biasanya saya tidak mahu melayan perbualan jin yang berada dalam badan pesakit. Tetapi entah macam mana saya ingin tahu dengan lebih lanjut lagi.
“Tuan aku dah mati”, jawabnya.
“Habis, mengapa kau masuk dalam badan orang ini”, soal saya.

Dan banyaklah lagi dialog yang malas saya tulis di sini. Biarlah saya bercerita secara ringkas sahaja.

Pelesit tersebut mengatakan bahawa dia suka kepada pesakit itu dan makan darah manusia. Katanya darah manusia manis. Hal ini kerana sepanjang pelesit tesebut dibela oleh tuannya, dia diberi makan darah.

Saya memberi pilihan kepada pelesit tersebut untuk dipindahkan ke tempat lain. Saya diberi ilham untuk memindahkannya ke Amerika. Sambil memohon kepada Allah, saya memperlihatkan tapak tangan kiri saya ke matanya.  Pelesit itu terkejut kerana dia melihat orang-orang di sana ramai berkulit hitam. Dia tidak mahu pergi ke sana. Saya cuba mengusulkan untuk dia pergi pula ke hutan untuk makan darah binatang. Dengan izin Allah saya memperlihatkan gambaran hutan di depan matanya. Saya cuba mengusiknya dengan menyuruh dia memakan darah harimau. Dengan reaksi yang sangat takut dia mengelupur ketakutan kerana takut akan harimau tersebut. Tambahan pula saya mengarahkan harimau tersebut untuk mengejar dan memakan dirinya. Lagilah dia takut dan menjerit. Pesakit yang kerasukan pelesit tersebut menyorok di sebalik kerusi.

Lucu pun ada melihat reaksi pelesit tersebut. Isteri saya yang turut menyaksikan adengan itu pun turut ketawa. Saya pun turut ketawa tetapi tetap berlagak selamba sahaja.

Akhirnya saya membuat pilihan untuk ‘menamatkan’ sahaja riwayat pelesit tersebut. Saya bimbang jika dia terlepas, akan ada orang lain pula yang menjadi mangsanya. Dengan doa dan iktikad yang jelas, saya memohon kepada Allah untuk memenggal leher pelesit tersebut dengan pedang makrifat. Mudah-mudahan dia ‘mati di alam manusia’ dan tidak mengganggu manusia lagi.

Sekian sahaja buat kali ini..
Terpulang kepada pembaca untuk mempercayainya..

Rujukan :

Wednesday 19 August 2015

MENGAMUK LAGI

Assalamu’alaikum wwt

Ada kalanya pesakit yang dirawat menunjukkan simpton yang agresif dan tidak terkawal. Dalam hal ini, perawat tidak perlu bimbang kerana tindakan agresif tersebut bukanlah lahir daripada jasad pesakit tetapi pergerakan tersebut hasil daripada pengaruh gangguan jin. Ada kalanya lucu juga berhadapan dengan jin-jin ‘tingkat rendah’ ini kerana dia hanya menunjukkan berani sahaja dan suka mengertak perawat sedangkan hakikatnya tipu daya jin dan syaitan amatlah lemah. Percayalah, janganlah takut dengan sikap agresif yang ditunjukkan oleh pesakit yang kerasukan jin kerana dia tidak mampu berbuat apa-apa. Perawat sebenarnya mempunyai sejumlah besar senjata pemusnah (ayat-ayat al-Quran) yang dapat digunakan untuk menentang amukan jin yang degil ini. Namun begitu, persediaan dan amalan perawat perlulah dibuat secara istiqamah.

Kisah kali ini adalah rentetan daripada kisah yang pernah saya paparkan dalam post terdahulu iaitu mengenai pesakit yang mengamuk secara tiba-tiba apabila berhadapan dengan saya. Pesakit itu merupakan seorang pelajar perempuan yang masih menuntut di UiTM Cawangan Jengka dan akan menyambung pengajiannya pada bulan September 2015. Selepas saya  merawat di rumahnya, ibunya membawa anaknya yang sakit itu ke rumah saya. Kali ini si pesakit masih lagi di bawah pengaruh gangguan jin. Pesakit itu mengamuk dan mengingkari arahan saya. Kali ini saya tidak memberinya peluang kerana jin tersebut masih berdegil. Kadang-kadang dijelir lidahnya kepada saya sambil ketawa. Kadang-kadang dia buat bodoh saja,macam perangai budak-budak. Ada satu kali dia membuat gaya ‘Ultraman’ kononnya untuk membuat pancaran api. Saya pun membuat juga gaya tersebut dengan niat untuk menetaknya dan pesakit itu rebah tiba-tiba. Adakah ini yang dikatakan jurus? Entahlah.. saya hanya memusatkan niat sahaja dan memukul secara jauh. Guru saya, Syeikh Muhammad Rajab melarang anak muridnya mengamalkan jurus. Mungkin yang dimaksudkan oleh tuan guru saya itu ialah jurus yang melibatkan penggunaan jin.

Menarik Penyakit dan Gangguan Jin

Bila keadaan agak reda setelah pesakit terbaring, saya meneruskan rawatan sambil memusatkan niat mengaut penyakit termasuk jin-jin pengganggu. Dengan membaca rangkaian ‘Ayat Penakluk’ dan ‘Ayat Pengumpul’, saya bermohon kepada Allah untuk menarik keluar segala penyakit dan gangguan jin. Saya letakkan tangan di atas ubun-ubun kepala pesakit dan meniatkan untuk mengumpulkan penyakit dan gangguan jin di tapak tangan kanan  dan menariknya dengan kekuatan makrifat lalu melontarkan ke destinasi tertentu. Kelihatan pesakit seakan-akan tercabut nyawa mengelupur apabila saya berbuat begitu. Pesakit juga mengadu rasa sakit yang amat sangat di bahagian perutnya. Menurut kata ibunya, sudah agak lama anaknya itu tidak datang bulan (haid). Saya lantas teringat untuk menggunakan kaedah transfer menarik gangguan penyakit dan jin menggunakan balang kaca. Kaedah ini saya pelajari daripada Ustaz Majid suatu ketika dahulu. Saya kira kaedah ini sesuai untuk digunakan di bahagian perut pesakit perempuan.

Sebenarnya kaedah menarik gangguan jin menggunakan botol atau balang kaca bukanlah bermakna kita mengurung jin-jin tersebut. Tidak sama sekali. Apa yang berlaku ialah kita bermohon kepada Allah untuk mengeluarkan penyakit dan gangguan jin di tempat-tempat tertentu. Mungkin di tempat itu adalah tempat utama berkumpulnya jin dan dengan menggunakan botol atau balang kaca tersebut, kita berniat menariknya keluar dan mengumpulkan di dalam botol atau balang kaca tersebut. Selepas itu, kita mengisyaratkan membuangnya dengan melemparkan ke destinasi tertentu. Jadi tidak timbul kaedah mengurung jin di dalam botol. Botol atau balang kaca itu bertindak sebagai medium sahaja. Wallahu’aklam....

Ketika saya menarik penyakit dan gangguan jin tersebut, kelihatan pesakit meraung kesakitan. Nampak sangat seperti ada benda yang berada di bahagian perutnya itu.  Saya berharap agar Allah memperkenankan ikhtiar saya itu. Mudah-mudahan sakitnya segera sembuh.

Selang beberapa hari

Sudah agak lama tidak mendengar khabar tentang pesakit remaja perempuan itu, tiba-tiba pada satu malam satu mendapat panggilan telefon daripada ibu pesakit itu mengatakan anaknya itu telah mengamuk lagi. Jelas kedengaran suara bertempik daripada anaknya itu melalui telefon bimbit saya itu. Ibunya mengharapkan agar saya datang ke rumahnya dengan segera. “La, ada lagi jin bedebah ini”, bisik saya perlahan. Saya tidak dapat pergi ke rumahnya pada waktu itu, kerana saya sedang merawat seorang pesakit. Saya menyuruh ibunya membawa anaknya itu ke rumah saya. Untuk meredakan keadaan, saya membaca beberap ayat pengusir syaitan di telefon untuk didengar oleh anaknya yang sedang mengamuk itu.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah si pesakit ke rumah saya walaupun pada mulanya dia agak keberatan.  Sesampainya di hadapan pintu rumah, wajahnya mula menunjukkan rasa benci dan terus bertindak agresif.  Nampaknya gangguan ini bersifat ‘on off’ iaitu datang dan pergi. Saya percaya ada titik kelemahan yang perlu saya cari agar gangguan jin ini tidak berulang lagi. Pada kali ini, saya cuba pula kaedah rawatan dengan meminum air ‘daun bidara’. Daun bidara yang berjumlah tujuh helai yang telah didoakan, saya tumbuk di dalam lesung batu. Campuran air dan daun bidara ini saya berikan si pesakit ini minum dan kesannya pesakit terus muntah. Namun masih ada lagi helah jin ini untuk terus berada di dalam badan pesakit dan tidak mahu keluar. Seterusnya saya cuba pula dengan kaedah meminum larutan air ‘garam bukit’ yang telah diruqyah. Nampaknya usaha ini berhasil untuk memaksa jin ini keluar. Sebelum jin ini keluar, saya bimbingnya untuk mengucapkan ikrar perjanjian untuk keluar buat selama-lamanya dan tidak akan masuk lagi ke dalam badan pesakit ini dan sesiapa sahaja dengan izin Allah.  Jikalau jin ini degil dan ingkar, maka jin tesebut akan hancur dengan kuasa Allah.

Garam bukit

Saya berharap agar gangguan jin yang menguasai gadis muda ini akan berakhir dan dia dapat menyambung pelajarannya di UiTM tanpa sebarang halangan. Insya Allah..

Sekian sahaja coretan daripada saya.

IKHLAS. YAKIN. REDHA
01132280112

Thursday 6 August 2015

TIDAK MAHU KE SEKOLAH

Assalamu’alaikum wwt..

Seperti diduga, kerjaya sebagai Perawat Islam tidak sunyi daripada menerima seribu macam masalah daripada pesakit.  Saya ingatkan apabila saya belajar ilmu perubatan Islam ini dahulu, lebih cenderung kepada merawat pesakit-pesakit yang mengalami masalah gangguan jin sahaja, namun ternyata skop rawatan yang diberi lebih daripada itu. Hal ini termasuklah memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada pesakit. Lebih tepat lagi, saya terpaksa menjadi pendengar yang setia dan cuba merungkai masalah yang dihadapi oleh pesakit. Pesakit kadang kala tidak dapat membezakan sakit mereka adakah berpunca daripada emosi yang terganggu atau adanya campurtangan makhluk halus (jin).

Ada beberapa peristiwa yang menjurus kepada kemahiran seperti kaunselor. Walaupun saya tidak menerima latihan dan ilmu dalam bidang kaunseling secara formal, namun saya percaya matlamatnya hanya satu iaitu memberi nasihat dan jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Pesakit perlu mempunyai keimanan yang kuat dan pergantungan yang tinggi kepada Allah. Namun, apabila kita ditimpa musibah, kadang-kala sikap ini tidak dapat kita praktikkan. Kita mudah menuduh pihak lain yang menjadi punca masalah tersebut tanpa menuduh diri sendiri.

Punca Tidak Mahu Ke Sekolah

Ada saya menerima kes  pesakit (pelajar) yang tidak mahu pergi ke sekolah. Ibu bapanya datang membawa anaknya yang tidak mahu datang ke sekolah itu berjumpa dengan saya. Yalah, ibu bapa mana yang tidak risau apabila anaknya yang bersekolah menengah dalam Tingkatan 4 tiba-tiba tidak mahu pergi ke sekolah. Saya bertanya dengan lebih lanjut masalah pelajar itu mengapa terjadinnya sebab tersebut. “Setiap sesuatu yang berlaku mesti ada sebabnya”, kata saya.

Ayahnya yang banyak bertindak selaku pemberi maklumat berkenaan dengan kes anaknya itu. Kes berpunca daripada perasaan tidak puas hati anaknya terhadap tindakan seorang ustaz di sekolahnya. Dikatakan ustaz tersebut telah menamparnya kerana dikatakan cuba berpeluk dengan seorang pelajar lelaki, walhal bukan begitu sebenarnya. Oleh kerana tindakan tanpa usul periksa oleh ustaz tersebut menamparnya di hadapan rakan-rakannya, membuatkan pelajar perempuan tersebuk merajuk dan menyimpan perasaan marah. Apabila menyebut nama ustaz tersebut sahaja, membuatkan mukanya berubah menjadi marah dan berdendam.

Pelajar perempuan tersebut banyak berkurung di dalam rumah dan memberi pelbagai alasan supaya tidak datang ke sekolah. Walaupun pelajar perempuan itu datang ke sekolah, namun apabila masa ustaz tersebut mengajar, dia akan keluar daripada kelas. Usaha penyelesaian dengan merujuk kepada guru kaunseling sekolah pun sudah dilakukan, namun tidak berkesan. Begitu juga diadukan kepada Guru Penolong Kanan HEM pun tidak berjaya mengubah sikap anaknya itu. Saya mencadangkan agar anaknya itu bertukar sekolah sahaja, namun ibu bapanya agak keberatan. Ibu bapanya masih mengharapkan anaknya berubah sikap dan meminta bantuan saya meruqyahnya. “Takut-takut ada gangguan jin”,  katanya lagi. Saya tersenyum dan tidak keberatan membantunya.

Saya meminta pelajar perempuan tersebut duduk berlunjur dan saya mulakan dengan bacaan ruqyah Nabawiyah dengan penuh khusyuk. Ternyata, tiada tindak balas yang agresif menandakan tiadanya gangguan jin. Cuma, apabila selesai meruqyahnya, pelajar perempun itu menyatakan sedikit tenang. 

Saya mengambil kesempatan menasihati pelajar perempuan tersebut supaya melupakan peristiwa yang lalu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. “Datanglah ke sekolah, dan anggaplah tiada apa-apa yang berlaku”, kata saya selanjutnya.

Dalam hal ini, saya hanya mendengar cerita satu pihak sahaja. Jadi, saya tidak dapat membuat rumusan yang tepat. Mungkin ada betulnya cerita tersebut dan mungkin juga sebaliknya. Jika berdasarkan ceritanya, memanglah tindakan ustaz tersebut tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi terhadap seorang pelajar perempun yang mudah tersentuh hatinya.

Mudah-mudahan pelajar tersebut akan kembali ceria dan mahu datang ke sekolah seperti biasa. Amin.

Sekian sahaja coretan saya buat kali ini..

01132280112

Wednesday 5 August 2015

PERUT BUSUNG

Assalamu’alaikum wwt..

Sakit fizikal yang nampak dek mata kasar memang mudah diubati terutamanya apabila kita berikhtiar merawatnya di pusat-pusat rawatan moden seperti di hospital. Kepakaran dan peralatan moden yang dimiliki oleh pihak hospital kerajaan atau swasta memang tidak dapat dinafikan. Saya sendiri pun akan berjumpa dengan doktor jika saya sakit. Penyakit gout yang saya hidapi kadang-kala terasa menyucuk dan bisa-bisa jika tersalah makan. Jalan penyelesaian terbaik ialah mendapatkan rawatan di klinik dan memakan ubat. Alhamdulillah, sakit tersebut sembuh. Ada orang kata ubat-ubatan moden ini hanya menghilangkan rasa sakit sahaja tetapi tidak sampai menyembuh dan ada kesan sampingan jika selalu diamalkan.

Begitu juga jika ada orang yang sakit perutnya besar atau dipanggil ‘busung’, maka rawatan moden adalah pilihan terbaik. Saya ada satu kes yang sedang saya tangani sekarang ini iaitu sakit busung. Inilah kali pertama saya berhadapan dengan kes seumpama ini.  Agak berdebar juga hati saya untuk merawatnya kerana apalah sangat dengan kemampuan dan ilmu saya yang sedikit ini untuk merawatnya. Namun, apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan daripada saya, maka saya terpaksa menerimanya. Sekurang-kurangnya pengalaman merawat penyakit ini berguna kepada saya di kemudian hari nanti.

Pagi itu saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang meminta pertolongan daripada saya untuk merawat penyakit isterinya. Saya tidaklah bertanya dengan lebih lanjut akan penyakit isterinya itu kerana kebiasaanya orang menghubungi saya bagi menangani kes-kes yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus. Satu temu janji telah ditetapkan untuk mengadakan sesi rawatan.

Petang itu, seperti yang dijanjikan, pasangan suami isteri tersebut telah berkunjung ke rumah saya. Langkah isterinya kelihatan lemah dengan perutnya yang besar seperti sarat sedang mengandung. Umurnya saya kira dalam lingkungan 50-an dan raut wajahnya menampakkan sedang menahan sakit. Saya telah berbual-bual dengan pasangan suami isteri ini untuk mengetahui hal yang sebenar. Menurutnya, sakit dalam perutnya ini terjadi secara tiba-tiba lebih kurang sebulan yang lalu. Masa itu, perutnya terasa memulas-mulas dan sukar untuk bernafas. Beliau telah dikejarkan ke hospital dan menjalani pemeriksaan dan rawatan oleh para doktor. Beliau telah ditahan di dalam wad untuk mendapatkan rawatan secara menyeluruh. Agak lucu juga apabila beliau mengatakan bahawa doktor telah memasukkan wayar ke dalam mulutnya dan juga di lubang duburnya untuk memeriksa bahagian dalam perutnya. Namun, doktor mengatakan bahawa tiada apa-apa yang sakit. Hanya ada cecair sahaja di dalam bahagian perutnya yang besar itu.

Gambar hiasan : Perut Busung

Dahulu saya pernah terbaca tentang fenomena penyakit seperti ini. Kalau di dalam perut wanita yang tiba-tiba membesar dan bukan diakibatkan oleh mengandung, berkemungkinan besar ada ketumbuhan di dalam perut atau di dalam rahim. Ketumbuhan ini dipanggil ‘fibroid’. Ketumbuhan ini jika dibiarkan akan terus membesar dan mengganggu kehidupan seharian. Jadi, ketumbuhan ini perlu dibedah dan dibuang oleh doktor pakar.

Ketumbuhan di dalam rahim atau dikenali sebagai Fibroid dalam rahim merupakan sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim terutamanya pada lapisan otot. Fibroid ini kebiasaannya bukanlah sejenis kanser dan ia tidak akan berubah menjadi kanser rahim. Ia boleh bersaizkan sekecil biji benih epal sehinggalah sebesar buah oren. Dalam kes yang lain, ia mampu membesar sehingga wanita yang mengalaminya akan kelihatan seperti mengandung.

Fibroid boleh tumbuh sebiji atau beberapa biji sekaligus. Kadar ketumbuhan juga berbeza –beza dan boleh tumbuh dengan cepat ataupun lambat. Terdapat fibroid yang tumbuh semasa mengandung tetapi kebiasaanya ia akan mengecut atau hilang selepas bersalin apabila rahim kembali kepada saiz yang normal. Fibroid boleh tumbuh di ruang dalam rahim (Fibroid Submukosa), di dalam tisu rahim (Fibroid Intramural) atau di luar rahim (Fibroid Subserosa). Terdapat juga fibroid yang tumbuh keluar daripada permukaan dalam atau luar rahim. Ia kelihatan seperti cendawan yand dikenali sebagai fibroid yang bertangkai.

Dalam kes wanita ini, jika pemeriksaan doktor mendapati tiada apa-apa ketumbuhan maka apakah sebenarnya punca penyakit tersebut?  Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui.

Kaedah Rawatan

Dalam kepala saya memikirkan apa kaedah dan teknik yang sesuai digunakan bagi merawat penyakit tersebut. Memanglah  kaedah bacaan ruqyah Nabawiyah meliputi semua usaha perawatan penyakit, tetapi perlu ada satu kaedah khusus untuk menjadikan rawatan lebih berkesan dan seterusnya sembuh dengan izin Allah. Dalam kepala saya terlintas untuk melakukan kaedah ‘Bedah Makrifat’ yang pernah saya pelajari daripada Ustaz Wan Asrul (TIAF) suatu ketika dahulu. Perlu diingat bahawa kaedah bedah makrifat ini tidak sama dengan kaedah Bedah Batin yang pernah menjadi kontroversi dalam rawatan alternatif.

Seperti biasa, saya meyuruh pesakit beristighfar memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa dan berselawat atas Nabi memohon syafaat baginda. Saya juga menyuruh pesakit berniat di dalam hati mohon kepada Allah agar diberi kesembuhan. Saya mulakan dengan bacaan surah al- Fatehah sambil diulang beberapa kali dan dilanjutkan dengan ayat-ayat ruqyah yang lain. Sambil itu saya memerhatikan reaksi di tubuh badan pesakit untuk diognosis awal. Jika sakitnya berpunca daripada gangguan jin, biasanya dada pesakit akan berdebar-debar dan kaki kiri atau kanan begerak-gerak dengan sendiri. Jika pesakit muntah, maka itu lebih baik sebagai tanda pemulihan awal. Dalam situasi ini, pesakit memberitahu hanya dadanya yang terasa berdebar-debar.

Setelah selesai membacakan ruqyah, saya meminta pesakit berbaring dan menutup bahagian badannya dengan sehelai kain. Saya meminta suaminya duduk berhampiran isterinya  dan meletakkan tangan diatas perut isterinya. Dalam bidang rawatan, adab perawat perlu dijaga. Jangan sembarangan menyentuh bahagian-bahagian badan pesakit dikhuatiri mendatangkan fitnah. Bagi perawat lelaki, sentuhan yang dibenarkan kepada pesakit perempuan ialah di bahagian kepala dan belakang sahaja. Dengan berlapikkan tangan suaminya, saya melakukan gerakan bedah makrifat disertai bacaan ayat al-Quran terpilih. Setelah itu, saya mengisyaratkan menutup semula bahagian tersebut. Dalam hal ini, keyakinan dan keikhlasan amat perlu untuk mendapat redha Allah. Kesembuhan mutlak adalah dengan izin Allah semata-mata. Sesi rawatan ditamatkan dan saya sarankan agar pesakit membuat rawatan ulangan jika perlu.

Selang beberapa hari, sekali lagi permintaan dibuat untuk menyambung semula rawatan. Dalam pertemuan kedua ini, respons yang baik ditunjukkan walaupun perut pesakit itu tetap membesar seperti dahulu. Maksudnya ada sedikit perubahan positif. Sekali lagi saya melakukan rawatan yang sama. Saya berdoa agar usaha kami ini diberkati oleh Allah. Jikalau tidak sembuh juga, pesakit ini bolehkah mendapatkan rawatan dengan orang lain pula. Adalah lebih baik, jika pesakit ini sentiasa membuat pemeriksaan di hospital atau berjumpa dengan pakar perubatan moden.

Kita hanya berusaha, Allah yang menentukan.


Sekian sahaja coretan buat kali ini...

Tuesday 4 August 2015

MENGAMUK TIBA-TIBA

Assalamu’alaikum wwt..

Kejadian pesakit mengamuk apabila didatangi perawat memang biasa berlaku. Hal ini tidaklah menghairankan kerana yang marah itu sebenarnya bukan diri pesakit itu tetapi gangguan (jin) yang berada di dalam badan pesakit itu sendiri. Mungkin gangguan (jin) itu sudah terasa bahang dan akibat buruk jika  berhadapan dengan perawat. Saya percaya, hal ini berlaku disebabkan keberkatan wirid dan amalan istiqamah perawat itu sendiri. Fenomena inilah yang saya cuba paparkan dalam coretan kali ini.

Petang itu saya sedang berehat-rehat di rumah sementara menunggu masuknya waktu maghrib. Saya bersiap-siap untuk pergi ke surau yang berdekatan dengan rumah bagi menunaikan solat maghrib berjemaah. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara seorang wanita memberi salam di luar rumah. Saya ingatkan salam itu diberi kepada penghuni rumah jiran sebelah, maklumlah rumah yang saya diami ini rumah teres. Jadi saya tidak mahulah tergesa-gesa menyahut salam. Namun rupanya ada dua orang wanita itu terjongol di depan pintu rumah dalam keadaan yang tergesa-gesa sambil memastikan adakah betul saya orang yang mahu dicarinya.

Apabila saya mengiyakan, maka terus dia meminta saya menurutinya untuk pergi ke sebuah rumah kenalannya di Taman Jengka Impian. Serba ringkas dia menyatakan bahawa ada gangguan histeria di rumah rakannya itu. Saya serba-salah untuk memenuhi permintaan mereka kerana waktu itu hampir masuk maghrib. Namun, melihat akan kesungguhan mereka, saya pun mengikutnya dengan menaiki motosikal.

Disambut dengan Amarah

Dalam perjalanan untuk sampai ke rumah pesakit itu, saya mempersiapkan benteng pertahanan diri dengan amalan yang dipelajari. Guru saya ada berpesan, agar selalu berwaspada dan berjaga-jaga apabila melangkah keluar dari rumah untuk merawat. Mantapkan lidah dan hati dengan zikrullah sambil memohon perlindungan daripada Allah. Sebaik-baiknya, amalan ini perlulah dilakukan secara istiqamah sehingga sebati dan menjadi automatik sahaja tanpa perlu kita berusaha untuk mengerahnya. Apabila amalan menjadi sebati dan serasi dengan kita, maka mudahlah jadinya seperti kata peribahasa  ‘alah bisa tegal biasa’.Perjalanan menuju ke rumah pesakit mengambil masa yang singkat sahaja kerana jarak yang dekat.

Sesampai sahaja saya ke rumah pesakit, tiba-tiba anak remaja perempuan tuan rumah yang sakit itu terus mengamuk dan menghalau saya keluar. Saya tidak menghiraukan perlakuan agresifnya itu tetapi tetap berwaspada. Namun, tanpa diduga, dia terus menolak saya hingga saya hampir-hampir hilang keseimbangan. “Main kasar nampaknya”, bisik saya perlahan. Saya pun perlu ‘bermain kasar’ juga  supaya dia menghormati saya. Dalam keadaan kritikal begini, bacaan ruqyah tidak banyak membantu. Jadi saya terpaksa menggunakan teknik serangan ringkas untuk melemahkannya. Gerakan ‘pancung’ menggunakan pedang ghaib saya gunakan sambil bertakbir beberapa kali. Alhamdulillah, pesakit kelihatan lemah dan terbaring. Saya tidak percaya akan ‘lakonan bodoh’ tersebut. Masih ada lagi sisa-sisa gangguan jin di dalam badan pesakit tersebut. Nampaknya, saya terpaksa menangguhkan rawatan untuk menunaikan solat maghrib. Biarlah pesakit itu terbaring sambil dikawal oleh ahli keluarganya.

Sesi Ruqyah

Sebelum memulakan sesi ruqyah, emak pesakit menceritakan serba sedikit punca gangguan yang menimpa anaknnya itu. Sakit anaknya itu telah lama terjadi iaitu sejak anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Agama di Jerantut. Nampaknya gangguan tersebut terus berlanjutan sehingga anaknya itu melanjutkan pelajaran di UiTM, Jengka. Sesi pengajian terpaksa ditangguhkan akibat penyakit yang dialami oleh anaknya itu. Soal berubat dan mendapatkan rawatan usah ceritalah. Sebut sahaja mana ada perawat yang boleh merawat nescaya akan dibawanya ke situ. Wang ringgit , masa dan tenaga sudah banyak terbuang, namun kesembuhan yang diharapkan belum kunjung sembuh. Kata orang tua-tua,  ‘tidak rasi’ lagi untuk sembuh.

Apabila keadaan sedikit tenang, saya memulakan dengan sesi ruqyah Nabawiyah. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran saya alunkan dengan tenang dan jelas hingga jiwa terasa sebak mengenang kebesaran Allah. Harus diingat, bukan ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi sebab penyembuh sesuatu penyakit tetapi Allah jua yang menyembuhnya. Pesakit kelihatan gelisah dan menjerit-jerit namun saya tidak menghiraukan semua itu. Sesekali pesakit muntah-muntah dan kesakitan. Saya membentak gangguan jin supaya keluar dari tubuh badan pesakit itu. Saya percaya ada banyak lapis gangguan jin di dalam badan pesakit itu. Usaha penyembuhan akan memakan masa dan proses rawatan ulangan perlu dilakukan supaya benar-benar sembuh dengan Izin Allah.

Keluarga pesakit menaruh harapan yang tinggi kepada saya untuk membantu merawat anaknya itu. Saya mengatakan kepadanya, janganlah menaruh harapan kepada saya, tetapi taruhlah harapan kepada Allah.

Rawatan Ulangan

Tiga hari berselang, keluarga pesakit membawa anak remaja perempuannya yang sakit itu ke rumah saya. Seperti biasa, saya menyuruhnya membaca ikrar pemutus jin saka dan sihir supaya tiada lagi pertalian dan hubungan dengan pesakit. Nampaknya ada jin yang menyukai remaja perempuan ini dan tidak mahu melepaskannya. Saya bermohon kepada Allah agar mendatangkan pasangan yang sesuai dengan jin ini. Tiba-tiba jin tersebut bersetuju untuk keluar, mungkin dia nampak akan pasangannya itu. Subhanallah...

Semoga remaja perempuan itu sembuh dan dapat meneruskan kembali pengajiannya di UiTM yang telah tertangguh. Amin..

Sekian sahaja coretan saya pada kali ini.
Moga berjumpa lagi.


Hp. 01132280112

Monday 3 August 2015

GATAL- GATAL SATU BADAN

Assalamu’alaikum wwt.
Pembaca yang dihormati,

Penyakit ada banyak jenis penyakit. Hal ini memang menjadi lumrah dalam kehidupan ini. Sakit yang menimpa kepada manusia ada hikmahnya yang tersendiri. Yakinlah, bahawa setiap penyakit yang Allah turunkan, pasti ada penawarnya. Setiap manusia pasti ada merasai sakit sama ada sakit jasmani atau sakit rohani atau sakit akibat gangguan jin. Sakit yang menimpa manusai tidak mengenal siapa, walaupun orang itu hidup dalam persekitaran kesihatan dan perubatan. Inilah yang saya cuba coretkan dalam tulisan pada kali ini.

Pada suatu hari, saya ada menerima panggilan daripada sahabat saya yang mengatakan rakan kepada isterinya sakit gatal-gatal satu badan.  Isteri rakan saya itu bertugas sebagai jururawat di Hospital Jengka. Melalui perbualan ringkas itu, orang yang sakit itu hendak datang mendapatkan rawatan pada petang itu juga. Saya memaklumkan kepadanya bahawa petang itu saya sibuk dan memintanya datang pada waktu malam selepas solat Isyak.

Pada malam itu, datanglah pesakit itu ke rumah saya. Pesakit itu bertugas sebagai jururawat di Hospital Jengka. Dia menceritakan bahawa dia telah terkena sakit gatal-gatal satu badan. Sakit gatalnya itu luar biasa kerana sudah puas makan ubat dan berpantang makan, namun sakit gatal badannya itu tidak kunjung sembuh. Jika mengikut logiknya, setelah makan ubat dan berpantang makan, nescaya sembuhlah sakit tersebut. Tambahan pula, beliau sudah tentu lebih arif tentang hal-hal ubat dan cara rawatan. Namun, kita harus melihat pula punca sakit itu dari sudut yang  lain pula. Pasti ada penyebabnya yang tersendiri dan berkemungkinan sakit itu ada campur tangan gangguan jin. Wallahu’aklam..

Gambar hiasan : Gatal yang kerap digaru

Saya mulakan proses rawatan dengan mendoakan pada air terlebih dahulu. Setelah itu, barulah saya meruqyahnya dengan ‘Ruqyah Nabawiyah’ sambil bermohon di dalam hati agar Allah memberikan kesembuhan. Sepanjang proses ruqyah tersebut, saya lihat pesakit itu tidak senang duduk dan berusaha sedaya upaya menahan gatal-gatal di badannya. Mungkin pesakit itu malu untuk menggaru badannya yang gatal di hadapan saya. Kasihan saya melihat keadaanya ketika itu. Kepalanya saya pegang dengan tangan kanan sambil memakrifatkan mencabut sakitnya itu. Begitu juga pada bahagian belakang badannya yang telah saya tutup dengan kain tebal, saya mengisyaratkan menghancurkan sakit-sakit badannya. Saya teringat pesanan guru saya iaitu Ustaz Haron Din, agar mengulangi bacaan akhir surah Al Hasy (Lauzanzalna...) beberapa kali.  Ayat ini dengan izin Allah dapat menghancurkan segala jenis gangguan sama ada yang zahir mahupun yang batin. Begitu juga dengan ayat penawar bisa iaitu Bismillah Tujuh dan Bismillah Lima. Dengan izin Allah, keberkatan ayat-ayat ini dapat menawarkan segala jenis bisa-bisa dan gatal-gatal.

Seperti biasa, saya akhiri proses ruqyah dengan teknik menarik keluar penyakit dan punca penyakit. Saya lihat pesakit sedikit letih dan terasa kebas-kebas pada bahagian hujung kakinya.

Saya mengajarnya amalan membenteng diri dengan ayat-ayat Muawizat iaitu, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah Annas. Amalan ini walaupun ringkas, tetapi sangat besar manfaatnya. Amalan ini ada petuanya yang perlu dilakukan. Saya berpesan kepada pesakit itu agar beramal dengan istiqamah selepas solat Subuh, Maghrib dan sebelum tidur. Tidak lupa juga, saya mendoakan pada bedak sejuk untuk dicampur dengan air yang telah didoakan untuk di sapu pada bahagian badan yang gatal.

Semoga sakitnya sembuh dengan izin Allah..
Sekian, jumpa lagi.

Semuanya terjadi dengan izin Allah.


HP: 01132280112