Tuesday 20 October 2015

PERAWAT PUN KENA SERANG BALAS

Assalamu’alaikum wwt

Berhadapan dengan penyakit yang berkaitan dengan campurtangan jin memang ada risikonya. Tidak kiralah sama ada berhadapan dengan gangguan jin-jin saka atau bukan jin-jin saka. Jin saka merupakan suatu kontrak perjanjian di antara manusia dan segolongan jin tertentu yang dipusakai secara turun temurun yang kononnya untuk menjaga dan menolong manusia tersebut. Manakala jin bukan jin saka pula merujuk kepada segolongan jin yang tidak terikat dengan kontrak perjanjian tetapi mungkin dihantar melalui ilmu sihir (jin sihir), jin yang mencintai manusia (jin asyik), jin yang membalas dendam kepada manusia (mungkin kerana manusia pernah menyakitinya) dan sebagainya.

Antara skop tugas perawat pengubatan Islam ialah berusaha mengeluarkan gangguan jin-jin tersebut daripada badan manusia. Jikalau perawat tersebut tidak mantap ilmu dan amalannya, maka mudahlah perawat tersebut terkena serangan balas jin-jin tersebut. Kita kena ingat bahawa jin-jin ini ada pelbagai peringkat kepandaiannya. Kalau berhadapan dengan jin-jin peringkat rendah, maka cara mengatasinya agak mudah, tetapi jika berhadapan dengan jin-jin peringat tinggi, maka agak sukar untuk mengatasinya. Dalam hal ini, perawat Islam perlu faham selok-belok alam jin dan mempunyai banyak pengalaman dalam berhadapan dengan jin-jin tersebut.

Siapa kata tugas perawat itu mudah?

Tugas perawat Islam tidak semudah yang disangka. Cubalah anda menjadi perawat? Hendak merawat diri sendiri pun sukar, apatah lagi untuk merawat orang lain. Dalam diri sendiri pun ada gangguan jin, bagaimana pula untuk mengeluarkan gangguan jin di dalam diri orang lain?

Oleh itu, jangan mudah mendabik dada, bahawa akulah perawat yang hebat atau akulah perawat yang ada nama. Selagi sifat  keakuan itu masih tebal di dalam diri perawat, jangan haraplah untuk bergelar perawat. Lebih baik perawat itu muhasabah diri terlebih dahulu. Janganlah bila sudah habis belajar ilmu perubatan Islam, maka terus mendabik dada. Rawatlah diri sendiri terlebih dahulu.

Perawat perlu bersikap ikhlas dalam merawat. Setiap pesakit yang datang mendapatkan khidmat rawatan daripada perawat sebenarnya digerakkan oleh Allah. Perawat yang merawat pesakit pun digerakkan oleh Allah. Dalam hal ini, hakikatnya Allah jua yang merawat. Aku (diri perawat) bukan merawat tetapi Allah yang merawat. Hendak mencapai maqam ini bukannya senang. Namun apabila hal ini dapat dipraktikkan, maka akan timbullah sifat ikhlas dalam merawat. Jin-jin sebenarnya takut kepada perawat yang ikhlas kerana Allah. Jika sifat ikhlas ini tiada dalam diri perawat, maka mudah baginya diserang oleh jin-jin jahat. Sebab apa? Sebab ada kepentingan lain dalam niatnya.

Selain itu, perawat juga perlu yakin akan usahanya dalam merawat penyakit. Ilmu yang banyak tinggi menggunung belum tentu berhasil untuk merawat jika tidak yakin dengan kuasa Allah.  Biarlah ilmu sedikit tetapi yakin dengan kuasa Allah, pasti Allah beserta dengan perawat tersebut. jin-jin tidak takut kepada perawat yang kurang keyakinan dalam usaha perawatan. Oleh sebab itu, mudah bagi perawat terkena serangan balas. Ayat-ayat ruqyah hanya pemangkin sahaja agar usaha kita tidak sia-sia. Ruqyah disertai dengan keyakinan yang teguh kepada kekuasaan Allah pasti mendatangkan hasil yang hebat.  Sebenarnya jin-jin takut kepada perawat yang mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah.

Sebagai hamba Allah yang lemah, sebenarnya kita tiada satu pun kuasa walau sebesar zarah sekalipun untuk menyembuhkan penyakit. Dalam hal ini, perawat perlu redha diatas apa jua ketentuan Allah sama ada Allah hendak menyembuhkan penyakit atau sebaliknya. Perawat buatlah kerja merawat dengan ilmu yang dipelajari dan selebihnya mohonlah redha Allah diatas usaha kita itu. Jika Allah redha dengan usaha yang kita lakukan maka sembuhlah penyakit tersebut, manakala jika Allah tidak mengizinkan penyakit tersebut untuk sembuh, maka redhalah bahawa kesembuhan sesuatu penyakit itu belum tiba masanya. Jin-jin jahat sebenarnya tidak dapat berbuat apa-apa jika perawat ada sifat redha kepada Allah.

Ada masanya perawat pun lalai dan terleka juga, walaupun sentiasa beringat dan berjaga-jaga. Jin-jin jahat sentiasa menanti peluang dan mencari titik kelemahan perawat. Sebab itulah, ada ketikanya perawat berasa tidak sedap badan, lemah-lemah badan, sakit yang tidak diketahui sebabnya dan pelbagai petanda lagi. Oleh itu, perawat harus berehat dahulu dan mengumpul kembali kekuatan rohani dan jasmani. Perawat juga perlu meminta pertolongan rakan-rakan perawat yang lain untuk merawat dirinya. Biarlah perawat melaksanakan tugasnya dengan hati yang lapang dan kesihatan yang sempurna.


Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir...